Carian
Ulasan: Huawei Sound X – Pembesar Suara Bluetooth Premium Kelas Baharu?
May 19, 2020 Fahim Zahar

Amat jarang sekali kita lihat aksesori audio dari Huawei, kecuali antara yang terkini adalah TWS Freebuds mereka. Huawei sebenarnya turut mempunyai pembesar suara tersendiri dan baru-baru ini mereka telah melancarkan Huawei Sound X. Ia adalah sebuah pembesar suara pintar nirwayar premium yang dijual di Malaysia pada harga RM1,299. Kenapa ianya mahal?

Ini kerana Huawei telah bekerjasama dengan Devialet, iaitu satu syarikat audio premium dari Perancis yang menjual sistem audio yang mencapai pada harga belasan ribu ringgit. Kami di Amanz telah pun menguji pembesar suara ini dan telah bersedia menyediakan konklusi untuk anda. Sedikit beberan untuk anda, pembesar suara ini hanya berfungsi sebagai sebuah pembesar suara Bluetooth dan langsung tiada ciri pintar. Jadi untuk siapakah pembesar suara ini dan adakah berbaloi untuk dimiliki? Baca artikel ini sehingga tamat.

Spesifikasi

Huawei Sound X
Skrin Jenis sesentuh untuk kawalan media
Pemproses MediaTek MT8518
RAM 512MB
Muatan Dalaman 8GB
Pemacu Audio 2x Woofer 6x Pembesar Suara Penuh Push-Push Acoustic Design
Teknologi Audio HUAWEI Sound dan 360°Surround Devialet Push-Push Acoustic Design
Bateri Tiada, Palam Kuasa
Rangkaian Bluetooth/WiFi
NFC Ya & Huawei Share
Jenis Pembesar Suara Pintar, Tetapi Di Malaysia Hanya Speaker Bluetooth
Kalis Air Tidak
Pembantu Maya Tiada Di Malaysia
Harga Jualan RM1,299

Sound X adalah sebuah pembesar suara yang elegan dan padat dengan ciri dan fungsi. Ia mempunyai satu panel seakan skrin sesentuh yang memaparkan butang kawalan suara, butang senyap dan juga butang multi-fungsi. Pada skrin ini juga ada animasi lingkaran berwarna warni mengikut situasi penggunaan. Warna jingga jika sedang menambat, warna kebiru-biruan ketika mengawal aras suara dan tiada apa-apa paparan kecuali ikon senyap berwarna merah jika tidak digunakan. Kawalan sentuhannya juga agak baik dan lancar. Tetapi perlu diingatkan selepas membeli cabut terlebih dahulu pelindung skrinnya, kerana jika tidak sensitiviti skrin adalah kurang memuaskan.

Oh ya, Sound X turut mempunyai sensor pada bahagian panel skrin ini yang mana boleh mengesan kehadiran tangan pengguna. Jika pembesar suara tidak digunakan, skrin akan mati dan semua ikon tidak akan kelihatan. Ia hanya akan dipaparkan sebaik sahaja sensor mengesan tangan atau bayangan yang bergerak menghala ke arahnya.

Pembesar suara ini mempunyai tindak balas frekuensi 40hz40Khz, yang mana menjanjikan pengalaman audio yang baik lebih-lebih lagi pada bahagian bass. Ia turut menggunakan sistem audio HUAWEI Sound dan 360°Surround, dan dipadankan dengan 2 woofers +
6 pembesar suara penuh. Sound X dijana dengan cip MediaTek MT8518 dan dipadankan dengan memori 512MB RAM dan storan dalaman 8GB. Walaupun ia adalah sebuah pembesar suara Bluetooth, ia tidak mempunyai bateri terbina dan perlu dipasang pada palam kuasa sentiasa melalui kabel kuasa 24V / 2.7A. Melengkapkan spesifikasi Sound X adalah sokongan Bluetooth/UPnP, WiFi 802.11a/b/g/n/ac 2 x 2, 2.4 GHz & 5 GHz dan juga audio Bluetooth Bluetooth HFP / A2DP.

Kualiti Audio

Seperti yang dikatakan tadi, Sound X adalah dari hasil kerjasama Huawei dan Devialet. Mengenali Devialet yang menjual sistem audio belasan ribu ringgit dengan kualiti yang menakjubkan – Sound X yang dijual pada harga RM1,299 memang dijangka akan ada pengorbanan tetapi sepatutnya mengekalkan kualiti audio yang bagus. Bagaimanakah kualiti audionya?

Dalam ujian kami yang menggunakan pembesar suara ini untuk sekitar satu minggu sebagai pembesar suara utama untuk mendengar muzik – ia adalah sebuah pembesar suara yang gempak. Bass yang dihasilkan adalah sangat dahsyat dan berdentum dalam keadaan yang memuaskan. Bass cukup kuat, mana-mana muzik dengan instrumen dram memang boleh didengari dengan baik dan getarannya jelas terasa. Treble adalah baik-baik sahaja, bukan yang terbaik tetapi mencukupi. Nota-nota muzik yang tinggi seperti pitching adalah tidak memuaskan dan kadangkala sedikit bingit. Clarity juga adalah memuaskan dengan hasil audio yang dekat dengan dunia nyata.

Untuk muzik, dalam ujian pendengaran kami – lagu-lagu seperti Ed Sheeran, Post Malone dan Avenged Sevenfold adalah antara yang terbaik. Lirik didengari dengan jelas, suara juga merdu dan pengalaman pendengaran adalah mengasyikkan. Tetapi, untuk lagu-lagu yang dinyanyikan oleh wanita seperti Taylor Swift atau Ariana Grande – ia sedikit bingit berbeza dengan suara-suara lelaki.

Secara tidak langsung, pengalaman pendengaran yang stabil digalakkan menetapkan aras suara pada tahap 60%-70% sahaja. Tidak banyak kawalan yang boleh dilakukan, seperti tiada penyama kerana terdapat had pada Sound X ini yang akan diceritakan pada perenggan bawah.

Pintar Atau Dungu?

Sound X sebenarnya adalah sebuah pembesar suara pintar kelas premium yang baik. Ia adalah seakan Apple Homepod. Tetapi amat mengecewakan yang kebanyakan fungsi dan ciri terhad di negara China sahaja dan tidak boleh digunakan di Malaysia. Sekurang-kurangnya buat masa ini sahaja. Pembesar suara ini sepatutnya bersaing dengan Google Home Max, Apple Homepod atau jenama-jenama lain seperti Marshall. Ia sepatutnya berfungsi sebagai pembesar suara dengan pembantu digital terbina dan boleh ditambat melalui aplikasi peranti berhubung.

Huawei ada aplikasi AI Life, yang mana atas berkali-kali percubaan – Sound X tidak boleh ditambat pada aplikasi ini. Begitu juga dengan tetapan suara, sistem Sound X adalah berbahasa Cina sepenuhnya dan tidak boleh ditukar ke bahasa Inggeris.

Dengan tidak boleh berhubung kepada aplikasi AI Life, ia akan berfungsi sebagai pembesar suara Bluetooth sahaja. Tiada fungsi tambahan yang boleh digunakan. Dengan kata lain, ia adalah pembesar suara dungu dan bukannya pintar.

Rekaan

Sekilas pandang, rekaan Sound X mirip dengan Mac Pro 2013 dan juga Apple Homepod. Berat pembesar suara ini adalah 3.5KG yang mana amat berat dan sukar untuk dialihkan ke satu tempat ke tempat yang lain. Menarik dengan rekaan seperti ini adalah ia kelihatan unik dan lain daripada yang lain.

Di bahagian atas terdapat permukaan bulat, yang di dalamnya adalah panel skrin. Keliling skrin adalah kekisi pembesar suara, yang mana janganlah anda cuba untuk menjolok atau mencucuk dengan sesuatu. Pada skrin, ia mempunyai kecerahan yang mencukupi untuk kawalan dan ditemani dengan animasi lingkaran cahaya berwarna-warni.

Di keliling Sound X, terdapat dua lubang atau ruang yang rekaannya digelar sebagai Push-Push Acoustic Design. Apabila memainkan muzik, kedua-dua ruang ini akan menghasilkan gema, getaran dan angin. Di bahagian bawah Sound X adalah kekisi pembesar suara yang besar melindungi pemacu audio 360 darjah. Kami dapat rasakan yang pemacu audio utama adalah di bahagian ini. Tapaknya diperbuat dari bahan seakan getah dan mempunyai ruang untuk selit kabel kuasa agar kelihatan kemas.

Tambatan

Tambatan dari telefon pintar ke Sound X adalah mudah sahaja walaupun tidak boleh menggunakan aplikasi AI Life. Jika menggunakan peranti Huawei, gunakan sahaja Huawei Share dengan menyentuh peranti pada logo NFC di Sound X. Begitu juga dengan peranti Android lain, sentuh dan tambat sahaja. Jika peranti iOS, anda perlu gunakan Bluetooth seperti biasa dan tidak boleh menggunakan NFC.

Untuk peranti Huawei sahaja, akan ada notifikasi yang lebih memudahkan pengguna untuk memilih sumber audio. Dengan satu tekan, pengguna boleh pilih ingin gunakan audio dari telefon atau Sound X. Peranti lain adalah seperti mana-mana pembesar suara Bluetooth.

Konklusi

Untuk siapakah pembesar suara ini dan adakah ianya berbaloi? Jika anda inginkan sesuatu dari Devialet dan tidak ingin berbelanja mahal, Huawei Sound X adalah pilihan bijak. Kualiti audionya adalah memuaskan dan akan memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Gunakan aras suara bawah 70%, ia tidak akan mengecewakan anda. Ya benar, ada kekurangan – tetapi mana ada produk yang 100% sempurna. Jika ingin pembesar suara Devialet yang lebih hebat, berbelanja ribu-ribuan ringgit dan tiada siapa akan marah anda.

Jika anda ingin mencari sesuatu yang pintar dari Huawei, buat masa ini Sound X bukan pilihan terbaik. Ini kerana ini hanya sebuah pembesar suara dan tidak boleh dijadikan sebagai hab peranti berhubung atau mengawal produk-produk pintar lain.

Adakah ianya berbaloi? Selagi Huawei tidak edarkan kemaskini untuk pengguna global, ini hanyalah sebuah pembesar suara Bluetooth RM1299. Mungkin jika ia sudah pintar, ia mungkin lebih berbaloi.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Rekaan yang premium, moden dan seksi – jelas ia adalah pemebsar suara mahal.
  • Menyokong mana-mana telefon Android dengan Bluetooth & NFC dan juga iOS.
  • Mempunyai bass yang dahsyat dan berdentum dengan baik, pengalaman pendengaran yang mengasyikkan.
  • Sensor pada skrin yang unik dan kelihatan cool.
  • Aras suara 100% tidak enak untuk muzik nyanyian wanita.
  • Tiada langsung fungsi pintar dan penggunaan adalah terhad.
  • Tiada bateri dan perlu sentiasa bergantung kepada palam kuasa.
  • Tidak boleh menukar suara sistem ke bahasa lain.

Komen