Buat anda yang ingin meningkatkan ekosistem perusahan rintisan atau startup ke arah lebih baik, pastinya ini adalah masa yang sangat tepat! Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) kini meneruskan program Selangor Accelerator Program (SAP) pada tahun 2020 ini. Ini menjadikannya kohort ketiga sejak ia pertama kali dilancarkan pada tahun 2018.
Objektif program ini untuk membuka peluang kepada golongan usahawan tempatan mengasah bakat perniagaan dan mengolah strategi untuk menjadi pelabur. Program kali ini menyasarkan kepada syarikat startup yang berasaskan kepada teknologi baru yang merangkumi semua sektor seperti perkomputer awan, perdangangan elektronik, bandar pintar dan banyak lagi.
Melaluinya, peserta terlibat akan diajar untuk mengembangkan potensi syarikat terutama dalam kemahiran untuk persembahan produk dan pengurusan yang lebih baik. Program ini berlangsung selama 4 bulan dan apa yang menariknya, ia menawarkan perjalanan di dalam serta luar negara yang ditaja sepenuhnya.
Bagi yang berminat, permohonan pendaftaran secara online akan dibuka sehingga 31 Mei 2020 ini. Setiap penyertaan perlu disertakan dengan video pendek kreatif berdurasi 90 saat dan 5 slaid bukti berkaitan syarikat merangkumi daya tarikan, cadangan unik, model perniagaan dan sebagainya. Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi SITEC.