Huawei akhirnya mengeluarkan kenyataan mengenai halangan baharu yang dikenakan oleh Jabatan Perdagangan ke atas mereka minggu lalu. Menerusi halangan ini Huawei dihalang dari mendapatkan bekalan cip dari pengeluar yang menggunakan teknologi dari Amerika Syarikat. TSMC yang selam ini digunakan untuk menghasilkan cip pemproses Kirin telahpun dilaporkan tidak lagi menerima pesanan dari Huawei.
Menurut Huawei halangan perdagangan yang dikenakan sejak 16 Mei 2019 adalah tidak berasas dan berniat jahat. Ia mengakibatkan lebih 3 bilion pengguna dan pelanggan kelengkapan telekomunikasi Huawei terjejas. Ia mendatangkan impak terhadap perkembangan, penyelenggaraan, dan kelangsungan operasi peralatan komunikasi yang bernilai ratusan bilion di 170 negara seluruh dunia.
Tambah Huawei lagi langkah yang diambil A.S akan menyebabkan merosakkan kepercayaan dan kerjasama di dalam industri semikonduktor. Mereka akan melakukan penelitian menyeluruh ke atas peraturan baru yang dikenakan dan menjangkakan perniagaan mereka akan terjejas.
Bagi mengurangkan impak ke atas perniagaan mereka, Huawei telahpun memesan cip dari Semiconductor Manufacturing International Corp (SMIC) yang berpangkalan di Shanghai sejak April lalu.