Carian
Google Berkongsi Tips Untuk Kekal Seimbang Dan Produktif Ketika Bekerja Dari Rumah
May 20, 2020 Amy Maizuraa

Bukan mudah untuk bekerja dari rumah. Salah satu risiko yang akan timbul adalah tekanan dan keletihan melampau. Meski pada dasarnya ia memang sukar, tetapi tidak mustahil sekiranya anda memiliki strategi yang bijak. Setiap orang mempunyai cara berbeza.

Sedar atau tidak, antara kesilapan utama yang sering kita lakukan apabila bekerja di rumah adalah tidak menetapkan waktu kerja yang sepatutnya. Mesra diingatkan, bekerja dari rumah tidak bermaksud anda perlu bekerja sepanjang hari. Ini langkah yang salah dan perlu diubah.

Oleh itu, Penasihat Produktiviti Eksekutif Google iaitu Laura Mae Martin berkongsi beberapa tips untuk membentuk tabiat kerja yang sihat bagi mengekalkan produktiviti :

  • Pertama : Pilih Ruangan Bersesuaian

Tetapkan ruang kerja yang bersesuaian pada kawasan tertentu supaya pekerjaan anda tidak terganggu. Jika boleh, ruang yang ditetapkan adalah khusus untuk bekerja sahaja. Paling penting, elakkan daripada memilih kawasan yang bising untuk kekal fokus. Anda juga boleh menghias ruangan berkenaan dengan beberapa barang yang kebiasaannya terdapat di pejabat seperti bekas pensel, foto dan sebagainya. Perlu diingatkan, jangan sesekali bekerja di tempat tidur!

  • Kedua : Rancang Jadual Kerja

Anda juga disarankan membuat perancangan awal supaya tidak berlaku pembaziran masa. Salah satu caranya adalah dengan mengatur jadual kerja harian anda sehari lebih awal. Anda boleh membuat lukisan templat rancangan harian mengenai apa yang ingin dilakukan dengan teliti – sedikit sebanyak ia dapat membantu anda untuk kekal produktif dan fokus.

  • Ketiga : Gunakan Masa Yang Ada

Uruskan masa lebih daripada biasa. Salah satu perkara paling menarik mengenai bekerja dari rumah adalah anda tidak akan berulang-alik. Jadi, anggaplah waktu ini sebagai masa untuk melakukan eksperimentasi dengan jadual ganti anda. Sebagai contoh andai kata anda jenis bangun awal pagi. Tidak salah sekiranya anda melakukan sesuatu dan kemudian berehat sebentar sebelum bekerja. Ingatlah, bahawasanya produktiviti bukan hanya berkaitan dengan perkara yang anda lakukan semata.

Pada masa sama, Laura turut berkongsi sejumlah trik mudah yang dapat membantu anda untuk kekal produktif. Antaranya seperti menjadualkan emel secara automatik, mematikan pemberitahuan Google Meet ketika mesyuarat, menyematkan tab yang selalu digunakan pada Chrome, buat senarai daftar tugas dan cipta folder ruang kerja dengan mudah dengan Google Drive.

Komen