AMD Akan Mengaktifkan Sokongan CPU AMD Zen 3 Pada Papan Induk B450 Dan X470 – Dengan Satu Syarat
AMD

AMD Akan Mengaktifkan Sokongan CPU AMD Zen 3 Pada Papan Induk B450 Dan X470 – Dengan Satu Syarat

Diterbitkan pada Mei 20, 2020 oleh .

Pada minggu lalu, kami ada melaporkan bahawa papan induk siri AMD B450 dan X470 tidak akan menyokong siri CPU AMD Zen 3 yang akan diperkenalkan pada tahun ini.

Ramai pengguna AMD di serata dunia nampaknya tidak begitu gembira mengenai berita tersebut kerana AMD telah menjanjikan sokongan kebelakang (backward compatibility) untuk papan induk untuk model-model sebelum sehingga tahun 2020.

Terkini, AMD mengumumkan dimana mereka akan memperkenalkan sebuah kemaskini BIOS untuk pembuat papan induk yang boleh dimuat-turun oleh pengguna.

Menurut AMD, papan induk X470 dan B450 terpilih boleh dikemaskini untuk mengaktifkan sokongan untuk CPU AMD Ryzen 4000 akan datang, tetapi akan hadir dengan satu kaveat yang sangat besar. Papan induk yang memuat-turun kemaskini ini akan menyokong CPU AMD akan datang, tetapi tidak akan menyokong CPU-CPU generasi sebelum ini.

Bukan itu sahaja, papan induk yang memasang kemaskini BIOS tersebut tidak boleh memasang kemaskini BIOS yang lama untuk mengaktifkan semula sokongan CPU lama, jadi pengguna harus berfikir sehabis-habisnya sebelum memasang kemaskini CPU tersebut.

AMD turut berkata bahawa mereka akan cuba untuk mengesahkan bahawa pengguna yang ingin memuat-turun kemaskini ini telah membeli sebuah CPU AMD Ryzen 4000 untuk memastikan mereka tidak merosakkan papan induk mereka secara tidak sengaja.

Buat masa ini, AMD masih belum mengesahkan bilakah kemaskini BIOS ini akan tiba untuk pembuat dan pengguna, tetapi jangkaannya adalah sekitar waktu yang sama CPU AMD Zen 3 ini akan dilancarkan kelak.



TIPS & ULASAN