Apa itu pengecasan dwi-arah? Ia adalah kemampuan satu peranti mampu mengecas peranti lain. Contohnya seperti telefon pintar OnePlus 8 Pro, Huawei Mate 30 Pro, Samsung Galaxy S10 atau S20. Tahukah anda yang kereta elektrik juga mempunyai teknologi seperti ini?
Ya, Tesla Model 3 dan berkemungkinan besar Tesla Model Y mempunyai teknologi ini sedia terbina. Cuma, Tesla tidak mengaktifkannya dan hanya rekaan pengecas terbina pada kereta ini sahaja direka untuk mampu berfungsi sebagai pengecas dwi-arah. Untuk apakah ia dibina seperti ini? Ia adalah untuk mengecas kenderaan elektrik lain atau menjadi sumber kuasa untuk rumah yang menggunakan sistem solar. Contohnya produk Powerwall dari Tesla. Ia adalah “powerbank” untuk rumah, yang mana mengumpul kuasa dari tenaga solar, simpan dan memberi kuasa untuk rumah.
Walau bagaimanapun, teknologi ini masih belum sedia digunakan kerana ia akan mengurangkan jangka hayat bateri kenderaan. Tetapi perkara ini mungkin akan berubah dengan pengenalan bateri baharu Tesla, seperti yang kami laporkan sebelum ini. Selain itu, ia hanya akan bersedia selepas kenderaan elektrik mempunyai lebih ramai pengguna.
Teknologi ini turut dikenali sebagai kenderaan-ke-grid dan kawalan bebanan kuasa, yang mana sejak 2017 dan 2018 Honda dan Nissan sudah pun mula menguji dan mengkaji teknologi ini. Kemampuan kawalan bebanan kuasa pada sesebuah kenderaan elektrik boleh dilakukan apabila ia sedang dicas melalui stesen pengecasan pintar atau sentiasa berhubung dengan Internet. Dengan teknologi ini juga, grid kuasa boleh mengoptimasikan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
Kelak, jika sudah ramai menggunakan kenderaan elektrik dan sedang mengecas di stesen pengecasan – ia bukan sahaja boleh mengecas kenderaan tersebut, tetapi turut boleh memberi kuasa elektrik pada kawasan sekitar. Secara tidak langsung boleh menjimatkan penggunaan elektrik dan menjimatkan kos.