Kad storan digital SD biasanya digunakan untuk pelbagai jenis peranti, tidak kira komputer, kamera, konsol permainan dan sebagainya kerana saiznya yang padat dan kadar penghantaran data yang semakin pantas.
SD Association, badan yang mengelola piawaian teknologi penyimpanan data hari ini telah memperkenalkan sebuah format kad SD baru yang dinamakan SD Express.
Format storan SD Express ini dibina menggunakan spesifikasi SD 8.0 yang menyokong teknologi penghantaran data PCIe 4.0 yang membolehkan kad-kad ini menghantar data ke komputer pada kadar sepantas 4.0GB/s.
Rekaan kad SD Express ini kekal sama, tetapi mempunyai pin tambahan yang membenarkannya mengakses kelajuan tambahan yang boleh didapati pada jalur PCIe 4.0. Walaupun begitu, pengguna mesti menggunakan pembaca kad SD yang menyokong sambungan PCIe 4.0 untuk memaksimakan kadar penghantaran data ini.
Kad SD Express ini dilihat akan menjadi sebuah medium penting khususnya untuk masa ini apabila video dirakam dalam resolusi 4K dan 8K yang bukan sahaja memerlukan jumlah storan yang besar, tetapi juga kadar penghantaran data yang sangat pantas.
SD Association mengatakan bahawa format SD Express ini hadir dengan sokongan kebelakang untuk format-format pembacaan sebelum ini, tetapi ia tidak akan mencapai kadar penghantaran data terpantas yang dinyatakan sebelum ini.
Jenama pembuat kad SD boleh memanfaatkan format ini tidak lama lagi, dan kad-kad SD dengan format SD Express ini boleh dilihat sekitar suku ketiga dan keempat tahun ini.