Cari @ Amanz

Dalam meniti arus pemodenan ini, tidak dinafikan bahawa teknologi digital sedikit sebanyak telah membantu sektor ekonomi sesebuah negara. Salah satu industri yang memainkan peranan penting kepada ekonomi negara adalah industri perbankan. Namun, teknologi baru ini telah memberi laluan kepada penjenayah siber untuk menggodam sekuriti serta menipu orang awam bagi memenuhi kehendak peribadi mereka. Ini adalah antara sebab mengapa anda harus berhati-hati kerana jenayah ini boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara.

1. Awas Dengan Penipu Yang Menyediakan Perkhidmatan Pinjaman Wang

Umum mengetahui bahawa ekonomi kita sekarang sangat terkesan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan yang dijalankan untuk mengurangkan pergerakan orang ramai agar tidak dijangkiti virus COVID-19. Sepanjang tiga bulan kita di rumah, sektor ekonomi negara menjadi lemah dan banyak perniagaan muflis. Sekaligus menyebabkan ramai antara kita yang kehilangan pekerjaan. Hal ini telah mendesak sesetengah pihak untuk memohon pinjaman wang daripada bank. Maka, pada waktu inilah individu-individu tidak bertanggungjawab melihat peluang ini sebagai peluang keemasan mereka untuk menawarkan pinjaman wang yang ternyata adalah sebuah penipuan.

Caranya mudah. Seorang agen yang kononnya daripada sesebuah syarikat pinjaman wang yang sah akan menghubungi dan meyakinkan anda untuk memohon wang pinjaman tersebut. Sekiranya mangsa ingin mempercepatkan proses untuk menerima pinjaman, mereka perlu membayar sejumlah wang yang kononnya digunakan untuk proses mengaktifkan pinjaman tersebut. Kemudian, apabila mangsa membuat pembayaran, penjenayah ini akan hilang dan tidak dapat dihubungi.

2. Jangan Mudah Terpedaya Dengan Mesej Yang Diterima Kerana Ia Berkemungkinan Adalah Teknik Phishing

Sebelum kita mengulas dengan lebih lanjut, mari kita fahami dahulu maksud phishing ini dan bagaimana teknik penipuannya memberi impak kepada kehidupan seseorang. Phishing merupakan teknik pengumpulan maklumat peribadi orang awam yang dilakukan oleh penjenayah melalui emel, mesej dan juga laman web palsu.

Ia bermula daripada mesej yang diterima oleh mangsa dimana  membuatkannya percaya untuk melayari pautan (link) yang dikongsikan. Antara mesejnya adalah seperti mangsa berpeluang untuk menerima wang saguhati dan perlu melayari pautan yang diberi bagi membuat semakan status. Dengan melayari pautan tersebut, ia seterusnya akan membawa mangsa kepada laman yang menyerupai laman web rasmi badan kerajaan yang sah. Hal ini akan membuatkan mangsa untuk kongsikan maklumat peribadi mereka di ruangan tertentu bagi menyemak status mereka. Jadi, dengan maklumat peribadi yang telah dimasukkan pada laman web palsu tersebut, data mereka telah sedia untuk diceroboh oleh penjenayah dan berkemungkinan wang simpanan mereka akan dicuri.

3. Macau Scam – Sindiket Yang Berasal Daripada Taiwan 

Sindiket ini merupakan aktiviti jenayah yang bermula daripada rakyat Taiwan dan telah menular ke Malaysia. Sindiket ini akan menggunakan akaun bank mangsa sebagai bahan ugutan dan memaksa mangsa untuk membayar sejumlah wang agar akaun bank mereka dikembalikan. Pertama sekali, penjenayah akan menghubungi mangsa dan mengakui dirinya sebagai orang daripada jabatan kerajaan tertentu seperti dari mahkamah dan seterusnya akan meminta maklumat peribadi mangsa yang kononnya untuk pengesahan diri. Apabila diperas-ugut untuk membuat sejumlah pembayaran bagi mengembalikan akaun bank tersebut, penjenayah akan hilang dan tidak dapat dihubungi.

Namun, pernahkah anda terfikir bagaimana penjenayah ini dapat menghubungi kita? Jawapannya adalah melalui maklumat peribadi yang kita pamerkan kepada umum. Contohnya seperti nombor telefon dan juga kad pengenalan yang kita isi seperti borang-borang di pasaraya atau secara tidak sengaja. Oleh sebab itu, ia amat penting untuk kita koyakkan atau hapuskan sebarang medium yang mempunyai maklumat peribadi kita sebelum membuangnya.

Bagaimana Untuk Mengatasinya?

Bagi mengelakkan anda menjadi mangsa seterus aktiviti jenayah ini, berikut merupakan antara tindakan penting yang disarankan oleh CIMB kepada orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak menjadi mangsa penjenayah siber ini.

1. Lindungi Maklumat Peribadi Anda

Anda perlu mengenalpasti dan sentiasa peka dengan pengaliran duit keluar dan masuk daripada akaun bank. Ini adalah bagi memastikan akaun bank anda sentiasa selamat dan tidak disalah gunakan. Anda juga disarankan untuk tidak kongsikan maklumat peribadi anda kepada orang lain. Namun, sekiranya anda diugut untuk memberikan maklumat peribadi, anda hanya perlu menghubungi pihak tertentu untuk mendapatkan kepastian. Menurut CIMB, sekiranya hal ini berlaku, pihak mereka menyarankan untuk merujuk kepada nombor telefon mereka di laman rasmi CIMB pada halaman “Hubungi Kami” atau nombor yang tertera di belakang kad bank mereka.

2. CIMB Menyarankan Untuk Tidak Kongsikan Maklumat Perbankan Internet Kepada Sesiapa

Sekiranya anda menerima emel daripada individu yang tidak dikenali dan menyatakan bahawa mereka daripada sesebuah syarikat perbankan, anda disaran untuk tidak membuka emel dan klik pada mana-mana pautan yang diberi. Hal ini adalah kerana emel sesebuah organisasi rasmi kebiasaannya menggunakan emel yang melambangkan syarikat mereka. Bagi CIMB sendiri, mereka menggunakan emel yang diakhiri oleh @cimb.com. Malah, sekiranya sesiapa yang menghubungi anda untuk mendapatkan maklumat perbankan, mereka tidak sepatutnya meminta ID pengguna, kata laluan dan juga nombor TAC. Ini kerana, maklumat sebegini sepatutnya dimasukkan pada suatu laman rasmi sahaja, seperti CIMB Clicks.

Bagi memastikan bahawa anda memasuki laman rasmi yang sebenar, CIMB akan memaparkan “Secureword” selepas ID dan kata pengguna dimasukkan. Namun, perlu diingatkan untuk sentiasa log keluar daripada akaun anda sejurus selepas transaksi dilakukan.

3. Sentiasa Menjaga Keselamatan Kad Bank Dan Nombor PIN Anda

Akhir sekali, anda disyorkan untuk tidak menulis nombor PIN akaun bank anda di mana-mana halaman yang mudah diakses oleh orang lain, seperti menyimpannya di bahagian pelayar internet untuk memudahkan aktiviti log masuk. Anda juga disarankan untuk elak menggunakan kata laluan yang senang diteka oleh ramai, seperti tarikh lahir dan sebagainya.

Penafian: Advertorial daripada CIMB 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd