Jika anda peminat komputer riba atau desktop yang direka khusus untuk permainan video, anda pasti menyedari secara lazimnya ia menggunakan kad rangkaian berjenama Killer. Rivet Networks, syarikat yang menghasilkan kad yang menjanjikan kelajuan WiFi terbaik untuk sesi permainan video ini telahpun diambil alih oleh Intel.
Intel tidak berkongsi nilai transaksi yang berlaku tetapi menjanjikan produk Killer sedia ada akan dimasukkan ke dalam portfolio penawaran mereka. Sebelum diambil alih, Intel dan Rivet pernah bekerjasama menghasilkan kad ethernet/WiFi Killer AX165 yang menyokong Wifi 6. Mereka kini akan menggandakan usaha membangunkan standard WiFi dan melakukan ujian bagi memberikan prestasi yang lebih baik kepada pengguna.