Sistem Kecerdasan Buatan Baidu Boleh Menggantikan Manusia Untuk Menyunting Video

Sistem Kecerdasan Buatan Baidu Boleh Menggantikan Manusia Untuk Menyunting Video

Diterbitkan pada Mei 21, 2020 oleh .

Sistem kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin semakin lama semakin pintar. Malah ada sistem yang lebih pintar dari manusia, walaupun manusia yang mencipta sistem ini. Seperti filem-filem bertemakan futuristik, suatu hari robot akan menggantikan manusia – jangan lupa kewujudan sistem kecerdasan buatan ini yang turut boleh menggantikan segalanya dan melakukan pelbagai tugas serentak. Perkara ini membuatkan saya sendiri teringat dengan siri TV Timeless yang mana di masa hadapan AI yang mengawal dunia.

Terkini, Baidu telah memperlihatkan satu program yang mampu menyunting video dua minit dalam masa sembilan minit sahaja hanya dengan memberi satu pautan laman web berita. Program ini adalah VidPress yang mana menggunakan ERNIE, iaitu kecerdasan buatan milik mereka. Mereka memberi satu contoh mengenai berita kematian Kobe Bryant.

VidPress akan menerima pautan laman web yang mengandungi berita tersebut, dan menjana skrip dengan mengimbas kata kunci penting seperti nama “Kobe” dan punca kematian “Helikopter”. Dalam proses ini, program ini akan membuat struktur ringkasan berita adalah logik dan jelas dan turut boleh membaiki kesilapan manusia dalam penulisan – seperti kata ganti nama diri. Selepas menjana skrip, program ini akan menentukan di saat mana dalam video penonton gemar melihat visual baharu. Kemudian, ia akan memastikan kandungan video ini mengandungi maklumat yang penonton ingin tahu seperti lokasi kejadian dan sebagainya.

Untuk mencari klip-klip video, program ini akan menggunakan imej dan video dari sumber yang diberi dan juga platform lain seperti laman web berita Baidu, Baijiahao. Pasukan Baidu juga sedang berusaha membangunkan program ini agar kelak turut dapat menggunakan kandungan yang berlesen. Teknologi computer-vision Baidu turut digunakan bagi mengecam wajah Kobe dari video-video temu bual agar tiada pemain NBA lain dimasukkan dalam video pendek ini.

Sampel video ini kemudiannya dimuat naik dalam platform video Haokan. Pihak Baidu mendapati 65% penonton lebih gemarkan video yang disunting oleh VidPress dan hanya 50% penonton sahaja menonton video yang disunting manusia.Teknologi ini menurut mereka, adalah untuk menjimatkan masa manusia menyunting video. Tetapi masih belum mampu menandingi manusia untuk menghasilkan kandungan video yang kreatif. Bagi yang tidak tahu, kehebatan sistem kecerdasan buatan Baidu bernama ERNIE ini juga telah menewaskan BERT iaitu sistem kecerdasan buatan milik Google dalam pemahaman bahasa manusia.



TIPS & ULASAN