Cip Grafik Intel Generasi Ke-12 Xe Dilaporkan Beberapa Kali Ganda Lebih Pantas Berbanding Iris Plus

Cip Grafik Intel Generasi Ke-12 Xe Dilaporkan Beberapa Kali Ganda Lebih Pantas Berbanding Iris Plus

Diterbitkan pada Mei 21, 2020 oleh .

Untuk sekian lama, cip grafik yang terbina didalam siri CPU Intel biasanya digunakan hanya sebagai sandaran sekiranya kad grafik kendiri anda rosak.

Walaupun begitu, revolusi cip pemprosesan grafik dilihat meningkat dengan pesat setiap generasi, dan dengan cip grafik Iris Plus yang diperlihatkan melalui siri CPU Intel Ice Lake, ia akhirnya boleh menggerakkan beberapa permainan moden pada kualiti yang selesa untuk dimainkan.

Terkini, ia dilaporkan bahawa CPU Intel generasi seterusnya yang diberi nama Tiger Lake akan menggunakan cip pemprosesan grafik berdasarkan cip grafik Intel terbaru yang dinamakan Xe.

Melalui laporan Notebookcheck, terdapat sebuah tangkapan skrin yang menunjukkan siri CPU Tiger Lake dari Intel Core i3 hinggalah Core i7 yang menggunakan cip grafik Xe, dan perbandingannya dengan CPU Core i7 Ice Lake.

Tangkapan skrin tersebut memperlihatkan jumlah skor penanda aras grafik Fire Strike melalui perisian 3DMark dan nampaknya komputer riba yang menggunakan cip pemprosesan grafik Tiger Lake ini semuanya akan boleh menggerakkan permainan komputer ataupun mengolah video pada kadar yang jauh lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh Ice Lake.

Tidak banyak yang diketahui mengenai cip grafik Xe yang digunakan pada CPU Tiger Lake ini, kecuali jumlah Execution Unit (EU) dan juga jumlah kuasa yang digunakan untuk menggerakkan cip-cip grafik ini.

Jika skor penanda aras ini boleh dipercayai, tidak mustahil lebih banyak permainan komputer moden yang boleh digerakkan melalui CPU yang digunakan untuk komputer riba nipis dan ringan tidak lama lagi.



Paling Popular