Penggunaan komputer riba untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan berlakunya isu pemanasan dan ia adalah masalah yang serius. Bahkan, bukan mudah untuk kita menyelesaikan masalah ini. Peka akan permasalahan ini, Microsoft kini dilaporkan telah menfailkan paten dermaga penyejukan untuk menangani isu komputer riba yang panas melampau.
Menariknya lagi, paten tersebut telah muncul di arena web. Memetik paten dikongsi, konsep yang diperlihatkan adalah cukup mudah di mana dermaga ini akan mempunyai magnet yang akan bantu melekatkan komputer riba padanya. Kemudian, suhu pada peranti akan berkurang melalui dermaga ini dan pada masa sama ia bantu mengekalkan prestasi peranti pada tahap optimum. Difahamkan, dermaga ini didatangkan dengan sokongan lebih daripada satu kipas dan diletakkan pada tempat yang bersesuaian.
Pun begitu, dermaga ini masih di peringkat paten sahaja dan masih tidak diketahui sama ada ia akan sama dengan produk akhir. Jika ianya benar, kita boleh menjangkakan masalah pemanasan melampau pada komputer riba kini dapat ditangani dengan baik.