Wabak koronavirus yang menular sekarang, iaitu Covid-19 adalah amat bahaya sehingga banyak negara terpaksa laksanakan perintah berkurung. Di Malaysia, perintah kawalan pergerakan ataupun PKP telah pun berlangsung selama dua bulan dan hanya baru-baru ini kawalan ini diringankan melalui PKPB – B untuk bersyarat.
Banyak aktiviti tergendala, kerja hilang, otak menjadi tepu dan menjadi tidak tentu arah. Tetapi bagi sesetengah individu ada yang gemarkan situasi begini kerana tiada apa-apa yang boleh buat. Menjadi malas adalah satu aktiviti yang ramai “gemar”. Terkini, bagi mereka yang suka akan aktiviti berkurung ini – mungkin boleh cuba menjadi wakil untuk NASA.
NASA mencari wakil untuk dikurungkan dalam makmal di Rusia, untuk dijadikan bahan eksperimen. Program ini adalah satu program persediaan NASA untuk manusia mendarat di bulan. Wakil yang menyertai program ini akan dikurung selama lapan bulan dan akan hidup dalam suasana yang dikatakan mirip dengan misi ke angkasa yang NASA ingin jalankan. Semestinya, ini bukannya makan angin – jadi setiap peserta akan terlibat dengan pelbagai kajian dan belajar cara untuk terus hidup. Antara sebab NASA hadir dengan program ini secara terbuka adalah untuk mengkaji peserta dari segi kesan fisiologi dan psikologi.