Apakah kelajuan Internet yang sedang anda nikmati sekarang? Di rumah kami melanggan kepada pakej 30 Mbps tetapi ini kerap kali lebih rendah kerana terdapat banyak peranti di rumah. Kelajuan yang kami menikmati ini adalah sepantas siput jika dibandingkan rekod baharu kelajuan Internet terpantas dunia 44.2 Terabit sesaat yang dicatatkan di Australia
Dengan kelajuan ini, ribuan filem beresolusi HD dapat dimuat turun dalam masa sesaat. Menurut Ookla, kelajuan purata muat turun Internet di Malaysia pada bulan Februari 2020 ialah 73.58 Mbps. Ini bermakna rekod dunia ini adalah lebih 600,000 kali ganda lebih pantas berbanding Malaysia.
Kelajuan 44.2 Tbps ini dicapai menggunakan cip baharu yang diberi nama sikat mikro (micro comb). Ia menggantikan 80 lampu LED infra merah untuk memancarkan isyarat Internet menerusi kabel gentian optik sepanjang 76.6km di Melbourne. Penyelidik dari Universiti Monash, Swinburne, dan RMIT bekerjasama untuk menghasilkan teknologi baharu ini.
Menariknya mengenai kelajuan Internet terpantas ini ialah ia menggunakan infrastruktur kabel gentian optik sedia anda dengan hanya penambahan cip sikat mikro pada kedua-dua hujung terminal untuk berfungsi. Maka secara teorinya teknologi ini boleh digunapakai dengan mudah ke rangkaian internet semasa.