Cari @ Amanz

OnePlus 8 merupakan salah satu telefon pintar terbaru yang hadir dengan skrin 90Hz. Seperti ramai sedia maklum, walaupun sesuatu peranti menyertakan skrin pada kadar segar semula tinggi, namun ia masih memerlukan pengoptimasian dan sokongan daripada penerbit kandungan dan permainan sebelum dapat menggunakan keupayaan skrin berkenaan sepenuhnya.

OnePlus Fortnite

Terbaru, OnePlus dan Epic Games telah pun mengumumkan kerjasama, sekaligus membolehkan para pengguna OnePlus 8 menikmati permainan Fortnite pada kadar 90FPS. OnePlus 8 hadir dengan cip pemprosesan Snapdragon 865 terbaru, selain dilengkapi skrin 90Hz, sekaligus membolehkan Fortnite 90FPS dinikmati tanpa masalah.

Apa pun, menurut GameSpot, penggunaan mod 90FPS menjadikan kadar tetapan permainan kepada tetapan grafik rendah, dan bukannya tinggi seperti pada kadar 60FPS menggunakan mod “Epic”.

Penawaran kadar 90FPS ini terhad kepada siri OnePlus 8 sahaja. Walaupun siri sebelumnya seperti OnePlus 7T hadir dengan panel 90Hz, Fortnite tidak menyokongnya, dan mengehadkan ia pada kadar maksimum 60FPS sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd