Cari @ Amanz

Oppo pada hari ini merupakan pengeluar telefon pintar kelima terkemuka dunia, dimana mereka mempunyai sejumlah penawaran menarik. Selari dengannya, dalam usaha menawarkan peranti yang lebih dioptimasikan, seperti beberapa pengeluar lain Oppo turut telah mula melihat untuk merekabentuk cip pemprosesan mereka tersendiri.

Langkah Oppo ini dijangka akan mengurangkan kebergantungan mereka kepada pengeluar daripada Amerika Syarikat, selain turut bersaing dengan lebih kompetitif lagi.

Terbaru, Oppo dilihat telah mula mengambil beberapa pekerja daripada MediaTek, termasuk jurutera dari UNISOC – dalam usaha memperkukuhkan pasukan pembangunan cip pemprosesan mereka tersendiri. Selain daripada itu, Oppo juga dikatakan telah mula mencari bakat-bakat dan jurutera daripada Qualcomm dan HiSilicon.

Dengan langkah mendapatkan pasukan pembangun cip pemprosesan tersendiri, ia akan memberikan lebih kawalan kepada Oppo dalam merekabentuk peranti, dan mengoptimasikannya untuk pelbagai perkara, termasuk ekosistem mereka sendiri.

Pada hari ini, antara pengeluar yang menggunakan cip pemprosesan tersendiri adalah termasuk Apple, Samsung dan Huawei. Dengan penyertaan Oppo, kita mungkin akan melihat lebih ramai pengeluar mula lakukan perkara sama, dan mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd