Sepertimana kita sedia maklum, ketika ini negara kita di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan secara terkawal sejak 4 Mei lalu. Tidak dinafikan, ramai pihak terlibat yang teruja dengan pembukaan semula ini. Namun, perlu diingatkan bahawa terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan tindakan tatatertib. Salah satu daripadanya, pemilik premis diwajibkan merekodkan kehadiran setiap pengunjung di premis masing-masing bertujuan sebagai rujukan keselamatan.
Pelbagai inisiatif telah diambil oleh kerajaan dalam usaha memudahkan orang ramai seperti penjanaan kod QR. Bagaimanapun, terdapat sedikit kekangan mungkin timbil pada sesetengah pihak kerana tidak semua peranti pintar didatangkan dengan fungsi pengimbas kod secara terbina. Namun, ia sebenarnya bukan permasalahan yang besar. Bahkan, kini terdapat banyak aplikasi pengimbas kod QR yang tersedia untuk pilihan orang ramai. Jadi untuk artikel kali ini, penulis akan berkongsi beberapa aplikasi pengimbas kod QR yang mudah digunakan.
Aplikasi 1 : QR Scanner – Free, Safe QR Code Reader, Zero Ads
Ini aplikasi pertama yang boleh anda cuba dari Trend Micro. Aplikasi ini sangat mudah digunakan kerana ia menampilakn kemasan antaramuka yang bersih dan mudah dipelajari oleh pelbagai pihak. Melaluinya, pengguna boleh mengimbas pelbagai format kod QR dan kod bar untuk teks kenalan, Wi-Fi, lokasi dan lain-lain. Lebih menariknya di sini, anda juga boleh mengimbas dengan pantas dan bebas daripada gangguan iklan. Selain itu, ia juga didatangkan dengan sistem keselamatan yang mana berupaya mengesan pelayar web yang berisiko dan menyekatnya dengan serta-merta untuk keselamatan. Ketersediaan adalah percuma.
Aplikasi 2 : WeScan
WeScan merupakan salah satu aplikasi yang boleh anda cuba. Rekaan antaramuka kelihatan kemas dan sangat mesra pengguna yang mana sangat mudah digunakan. Ia juga berupaya berfungsi dengan cepat dan tepat. Tidak hanya terhad untuk mengimbas kod QR sahaja, aplikasi ini juga boleh digunakan untuk mengimbas sejumlah kod bar seperti data matrix, EAN, UOC dan sebagainya.
Selain itu, ia juga boleh berfungsi sebagai penjanaan kod QR / kod bar bagi mencipta kod khusus untuk sejumlah platform seperti pautan web, mesej, WiFi dan banyak lagi. Dalam pada itu, terdapat juga fungsi log sejarah pada aplikasi bertujuan untuk menyimpan semua kod QR yang telah diimbas untuk digunakan sebagai rujukan. Ketersediaan adalah percuma.
- Muat turun WeScan dari Google Play Store
Aplikasi 3 : AiScan
Sebagai pilihan lain, anda juga boleh menggunakan aplikasi AiScan. Penggunaannya adalah sangat mudah dan ia berupaya mengimbas dengan serta-merta. Sama seperti WeScan, aplikasi ini juga boleh digunakan sebagai pengimbas kod QR dan kod bar. Ia menyokong pelbagai format termasuk EQS, QR Code, Data Matrix, Quick Code, EAN8, Code39 dan Code128. Melaluinya, anda boleh mengimbas pelbagai perkara termasuklah kenalan di media sosial, harga sesebuah produk, pencarian barangan dan sebagainya.
Selain itu, ia juga boleh berfungsi sebagai penjanaan kod QR peribadi tersesuai untuk sejumlah platform seperti Instagram, Facebook, Whatsapp, YouTube, Twitter dan sebagainya. Lebih menarik, ia juga menyokong fungsi flash secara automatik yang berguna untuk diguna pakai untuk persekitaran pencahayaan rendah. Turut tersedia, fungsi log sejarah yang mana membolehkan anda mengeksport semua pautan melalui e-mel atau menggunakan semula pautan tersebut. Aplikasi ini boleh digunakan secara percuma atau langganan dengan kemas kini secara berkala untuk menikmati kandungan penuh.
- Muat turun AiScan dari Google Play Store
Aplikasi 4 : QR & Barcode Scanner
Aplikasi seterusnya adalah QR & Barcode Scanner. Aplikasi ini mudah untuk dipelajari penggunaannya dengan rekaan antaramuka yang mesra pengguna. Melaluinya, anda boleh melakukan imbasan kod dengan menggunakan kedua-dua lensa kamera di hadapan dan belakang. Saiz untuk imbasan juga boleh dilaraskan menggunakan tetapan tersedia pada antaramuka utama.
Aplikasi ini membolehkan anda mengimbas pelbagai jenis format kod QR dan kod bar termasuk teks, URL, ISBN, produk, kenalan sosial, lokasi, Wi-Fi dan sebagainya. Bahkan, anda juga boleh mengimbas kos pada sesebuah kupon untuk menikmati tawaran menarik. Pada masa sama, anda juga boleh mencipta kod QR/ kod bar tersesuai, mengimbas menerusi tangkapan foto dan berkongsi maklumat menerusi kod QR. Ia boleh dimuat turun secara percuma.
- Muat turun QR & Barcode Scanner dari Google Play Store
Aplikasi 5 : QR Code Reader & Generator / Barcode Scanner
Kemudian, anda juga boleh menggunakan aplikasi QR Code Reader & Generator / Barcode Scanner App. Ia juga boleh digunakan sebagai pengimbas dan penjanaan tersesuai untuk kod QR / kod bar. Selain itu, ia juga didatangkan dengan fungsi khas termasuk sokongan flash, imbasan menerusi gambar dan log sejarah bagi memudahkan lagi penggunaan anda membuat imbasan. Tidak ketinggalan, aplikasi ini juga menyokong tetapan pantas untuk imbasan lebih cepat. Ia turut boleh dimuat turun percuma. Namun, masih terdapat langganan berbayar untuk anda yang ingin menikmati penawaran kandungan penuh pada aplikasi seperti menyahaktifkan iklan.
[Tambahan] Aplikasi 6 : QR Scanner Reader
Aplikasi QR Scanner Reader juga antara pilihan yang boleh anda cuba. Seakan sama seperti yang lain, aplikasi ini juga mudah digunakan tanpa sebarang masalah. Cuma sayangnya, ia hanya boleh digunakan untuk pengimbasan kod QR dan kod bar semata-mata. Imbasan boleh dibuat menerusi penggunaan kamera utama atau tangkapan hasil gambar. Tiada sebarang fungsi menjana kod QR/ kod bar tersesuai yang disertakan.
Namun, ia bukanlah sesuatu permasalahan yang besar kerana masih boleh berfungsi dengan baik. Selain itu, ia turut menyertakan sokongan flash untuk penggunaan imbasan pada suasana pencahayaan rendah dan log sejarah untuk memudahkan anda menyemak sebarang imbasan yang telah dibuat. Ia juga boleh dimuat turun secara percuma
- Muat turun QR Scanner Reader dari Google Play Store
Jika dilihat secara keseluruhannya, kesemua aplikasi didatangkan dengan penawaran fungsi yang sama. Namun, pada pokok pangkalnya keselesaan penggunaan tetap menjadi keutamaan. Sebenarnya banyak lagi aplikasi yang tersedia, tetapi apa yang disenaraikan adalah di antaranya.
Dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih, kehidupan kita menjadi semakin mudah. Sekadar peringatan, jaga diri anda sepanjang tempoh PKPB dan sentiasa lakukan pembersihan diri serta amalkan penjarakan sosial. Kita jaga kita!