Lenovo Memperkenalkan Siri Komputer Legion Yang Dikuasakan Komponen AMD, Intel Dan NVIDIA Terbaru

Lenovo Memperkenalkan Siri Komputer Legion Yang Dikuasakan Komponen AMD, Intel Dan NVIDIA Terbaru

Diterbitkan pada Mei 29, 2020 oleh .

Lenovo Malaysia hari ini telah mengumumkan kemaskini kepada siri komputer gaming mereka, iaitu Lenovo Legion dimana siri komputer riba dan desktop mereka bukan sahaja dengan komponen-komponen yang terkini, tetapi rekaan yang membuatkannya lebih kontemporari.

Dari siri komputer riba, Lenovo Malaysia memperkenalkan empat model baru, termasuklah Lenovo Legion 5, Lenovo Legion 5i, Lenovo Legion 5Pi, Lenovo Legion 7i dan Lenovo IdeaPad Gaming 3i.

Lenovo nampaknya telah menukar sedikit cara computer-computer riba mereka dipasarkan, dengan memisahkan model yang menggunakan CPU AMD dan Intel. Misalnya, Lenovo Legion 5 akan khusus menggunakan siri CPU AMD Ryzen 4000H.

Model-model lain yang mempunyai huruf ‘i’ di hujung model mereka seperti Legion 5i, Legion 5Pi dan Lenovo Legion 7i semuanya akan dikuasakan oleh siri CPU Intel Comet Lake H. Satu kelainan disini ialah Lenovo Legion 7i, dimana ia adalah satu-satunya computer riba yang hadir dengan pilihan untuk CPU Intel Core i9 generasi kesepuluh.

Perbezaan penggunaan CPU ini tidak akan menjejaskan penggunaan komponen-komponen lain seperti memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe sebesar 1TB. Dari segi pilihan cip grafik pula, kesemua model-model ini hadir dengan pilihan NVIDIA GeForce GTX 1650 sehinggalah NVIDIA GeForce RTX 2060.

Kesemua komputer-komputer riba ini hadir dengan ciri-ciri yang baru. Pertama ialah penggunaan papan kekunci Legion TrueStrike Keys yang dibina berdasarkan papan kekunci ThinkPad yang disukai ramai. Ia juga diubahsuai sedikit untuk bukan sahaja memuatkan system pencahayaan RGB, tetapi juga penambahan butang tambahan untuk memudahkan kawalan media.

Komputer-komputer riba Legion terbaru ini hadir dengan rekaan yang lebih minimalis berbanding dengan kebanyakan pilihan di pasaran sekarang, dan menurut Lenovo, ini adalah salah satu permintaan terbesar oleh para pengguna mereka yang mahukan sesuatu yang kelihatan anggun di luar dan garang didalam.

Penggunaan komponen-komponen berkuasa juga memerlukan system penyejukan komponen yang bagus. Legion ColdFront 2.0 ialah system penyejukan terbaru Lenovo yang menggabungkan beberapa teknologi seperti kipas polimer cecair kristal, kebuk wap, kipas penyejuk dan juga sensor haba untuk memastikan komponen-komponen sentiasa berada di julat suhu yang optimum.

Bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan dunia gaming, Lenovo turut memperkenalkan Lenovo IdeaPad Gaming 3i yang dikuasakan oleh gabungan CPU Intel Core i7 generasi kesepuluh dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650Ti yang digabungkan dengan paparan Full HD dengan pilihan kadar segar semula 60Hz dan 120Hz.

Lenovo Malaysia mengatakan bahawa Lenovo Legion 5 sudahpun tiba di pasaran tempatan melalui laman web Lenovo Malaysia dan juga Lenovo Exclusive Store di seluruh Malaysia.

Komputer-komputer riba lain seperti Lenovo Legion 5i, Lenovo Legion 5Pi boleh dipra-tempah melalui laman web Lenovo Malaysia bermula 1 hingga 15 Jun kelak.

Harga permulaan model-model ini adalah seperti berikut:

  • Lenovo Legion 5: RM3599
  • Lenovo Legion 5i: RM4199
  • Lenovo Legion 5Pi: RM6399

Dua komputer lagi yang turut diumumkan, iaitu Lenovo Legion 7i dan juga Lenovo IdeaPad 3i akan tiba di pasaran tempatan di masa akan datang.



TIPS & ULASAN