Razer Blade 15 Studio Edition Diperkenalkan Untuk Kreatif Profesional

Razer Blade 15 Studio Edition Diperkenalkan Untuk Kreatif Profesional

Diterbitkan pada Mei 29, 2020 oleh .

Razer ialah syarikat teknologi dari Singapura yang terkenal untuk perkakasan dan peranti komputer mereka yang biasanya dikhususkan kepada golongan gamer.

Razer baru-baru ini telah memperkenalkan Razer Blade 15 Studio Edition, iaitu komputer riba Razer Blade 15 yang diubahsuai sedikit untuk digunakan oleh mereka yang bekerja didalam industri kreatif.

Rangka luaran Razer Blade 15 Studio Edition ini berwarna perak ataupun Mercury White, berbeza dengan Razer Blade 15 asal yang berwarna hitam. Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-10875H dengan lapan teras dan 16 bebenang kuasa, memori DDR4 sebanyak 32GB dan storan SSD NVMe sebesar 1TB.

Dari segi grafik, Razer Blade 15 Studio Edition ini dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX Quadro 5000 yang digunakan untuk menggerakkan pelbagai perisian produktiviti kreatif pada masa yang sama.

Dalam pada itu, Razer Blade 15 ini menggunakan panel OLED dengan resolusi 4K dengan fungsi sesentuh dan menyokong 100 peratus gamut warna DCI-P3 dengan ketepatan warna Delta-E yang rendah khusus untuk mereka yang memerlukannya.

Bukan itu sahaja, untuk mempercepatkan penghantaran data ke komputer, Razer Blade 15 Studio Edition ini juga dimuatkan dengan pembaca kad SD UHS III yang menyokong kadar penghantaran data sepantas 624MB/s untuk rekaan beresolusi tinggi ataupun video pada resolusi 4K.

Melengkapkan komputer riba produktiviti kreatif kelas premium ini juga ialah sokongan untuk Bluetooth 5.0, WiFi 6 dan Thunderbolt 3.

Buat masa ini, hanya pasaran Amerika Syarikat dan Kanada boleh membeli komputer riba Razer Blade 15 Studio Edition ini melalui laman web mereka pada harga permulaan $4299.



TIPS & ULASAN