Cari @ Amanz

Fungsi pandangan sinar X ditemui secara tidak sengaja oleh pemilik OnePlus 8 Pro dua minggu yang lalu. Ia sebenarnya adalah penuras Photochrome infra merah yang disertakan untuk peminat fotografi secara terbina pada aplikasi kamera peranti. Selepas ia dilihat mungkin menimbulkan masalah privasi kepada pengguna, OnePlus segera mengeluarkan kenyataan akan mematikan fungsi ini buat sementara waktu tetapi hanya untuk peranti HydrogenOS.

Hari ini kemas kini untuk OxygenOS dan HydrogenOS mula diberikan oleh OnePlus untuk menyahaktifkan mod pandangan sinar X ini kepada kesemua pemilik OnePlus 8 Pro. Memandangkan fungsi Photochrome ini adalah perlu bagi peminat fotografi infra merah, OnePlus akan mengembalikannya semula dalam masa terdekat tanpa ciri melihat menembusi pakaian seperti sebelumnya.

Tetapi menarik sekali menurut laporan XDA Developer, kemas kini untuk OxygenOS nampaknya telah diberikan secara tidak sengaja oleh pihak OnePlus. Sebuah lagi kemas kini OTA akan diberikan bagi mengaktifkan semula Photochrome kepada mereka yang telah memuat turun kemas kini sebelum ini secara tidak sengaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd