Di Malaysia perkhidmatan WiFi percuma amat mudah ditemui di restoran. pusat membeli belah, pusat perkhidmatan pelanggan dan lapangan terbang. Sebelum ia boleh digunakan pengguna perlu melog masuk terlebih dahulu dan proses ini kerap kali melecehkan. Proses ini akan kelak menjadi sebahagian lipatan sejarah dengan pengenalan OpenRoaming oleh Wireless Broadband Alliance (WBA).
OpenRoaming akan membolehkan pelbagai peranti bersambung kepada rangkaian WiFi awam percuma secara automatik tanpa perlu dicari terlebih dahulu dan tanpa proses log masuk. Dengan ini pertukaran dari penggunaan rangkaian selular ke WiFi akan berlaku tanpa disedari oleh pengguna seperti yang dinikmati di tempat kediaman masing-masing. Senario paling menarik ialah pengguna dapat terus menggunakan WiFi percuma di lapangan terbang sejurus selepas keluar dari pesawat di luar negara.
Setakat ini OpenRoaming menerima sokongan dari syarikat telekomunikasi besar seperti AT&T, Broadcom Inc, Cisco, Comcast, dan Deutsche Telekom. Samsung, Google dan Intel turut bersetuju menyokongnya. Dalam masa terdekat kita boleh menjangka semua telefon pintar, peranti boleh-pakai, tablet dan komputer riba akan menyokong OpenRoaming.