Cari @ Amanz

Paten Terbaru ZTE Memperlihatkan Rekaan Peranti Tri-Skrin Boleh-Lipat

Link Copied!

ZTE adalah jenama yang tidak asing lagi dalam industri peranti pintar. Jenama ini juga tidak hanya terhad kepada penghasilan peranti pintar semata-mata. Sebaliknya, ia dilihat mempunyai jalinan kerjasama dengan sejumlah syarikat telekomunikasi dalam usaha membangunkan infrastruktur mereka.

Terdahulu, ZTE telah muncul dengan peranti boleh lipat menerusi model ZTE Axon M sekitar tahun 2017. Namun, peranti ini tidak menggunakan reka bentuk lipatan fizikal seperti Galaxy Fold. Sebaliknya, ia menampilkan dwi skrin yang digabung menggunakan engsel dan apabila dibuka ia berfungsi seumpama sebuah tablet. Terkini, laporan memetik sumber berkata ZTE didakwa dalam perancangan untuk membangunkan sebuah lagi peranti boleh lipat terbaru dan paten mengenainya telah mula diperlihatkan.

Memetik imej dikongsi, peranti ini bakal memiliki paparan yang boleh dilipat secara bertindih dan konsep ini dikatakan seakan sama dengan prototaip yang dihasilkan oleh TLC sebelum ini. Meskipun begitu terdapat perbezaan dalam rekaannya. Di mana, prototaip TLC hadir dengan bentuk siku saka tetapi ZTE pula mempatenkan rekaan dengan kedua-dua sisi yang bertindih tepat apabila dilipat. Maklumat lanjut mengenai peranti masih belum ditemui.

Seperti biasa, perkara ini masih lagi di peringkat ura-ura dan tidak dapat disahkan sepenuhnya. Memandangkan ia masih lagi pada peringkat paten, tidak bermakna ia akan sama dengan produk akhir. Namun, jika ianya benar apa pandangan anda mengenai rekaan sebegini?


Komen ()