Carian
Ulasan Asus ExpertBook B9450 : Komputer Riba Ringan Untuk Tugasan Kerja Berat
June 15, 2020 Amy Maizuraa

Kadang kala kita kena sedar, tidak semua orang selesa menggunakan tablet untuk tugas atau pekerjaan seharian mereka. Oleh itu, ramai yang mula mencari komputer riba yang nipis dan ringan kerana ia mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Terutamanya ketika bertugas di luar kawasan. Kalau kita perasan, semakin banyak pengeluar komputer riba yang berlumba-lumba untuk memenuhi keperluan ini yang seiring dengan trend tempatan dan global.

Begitu juga dengan Asus yang tidak mahu ketinggalan dalam bersama-sama mengejar kemajuan inovasi terkini dengan kemunculan Asus ExpertBook B9450. Sebuah komputer riba yang bersaiz kecil, kompak dan ringan bersesuaian untuk kegunaan pengguna yang sentiasa bergerak ke mana sahaja. Lebih menarik, ia menggunakan cip Intel Core Generasi ke-10 bersama gabungan beberapa ciri terkini untuk pengalaman yang baik.

 

Asus ExpertBook B9450FA
Skrin 14″ IPS Full HD (1920 x 1080)
Pemproses Intel Core i7-10510U 1.8GHz
Grafik Intel UHD Graphics 620
RAM 16 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman  1TB SSD
Kamera 720P
I/O 2 X Thunderbolt 3 USB-C , 1 X USB 3.0, 1 X USB-A 3.1, bicu audio
HDMI 1 x HDMI
Imbasan Pengecaman Wajah (Window Hello) & Cap jari
Bateri 66Wh
Harga Jualan RM6299- RM8599

Spesifikasi 

Asus ExpertBook B9450 menggunakan paparan bersaiz 14-inci dengan skrin jenis IPS LCD pada resolusi FHD. Skrin yang bernisbah 16:9 tidak mempunyai sokongan skrin sesentuh.

Meskipun ia dikatakan sebuah komputer riba yang ringan, tetapi soal ketahanannya tidak boleh dipandang enteng. Di atas kertas, Asus mengatakan komputer riba ini telah menjalani beberapa ujian ketahanan termasuklah tekanan panel dengan daya tahan 30kg, ujian kelembapan yang melampau, ujian pada suhu tinggi, ujian ketinggian pada jarak 15,000 kaki dan sebagainya.

Seperti yang penulis katakan di atas, komputer riba ini hadir dengan prestasi yang baik berkat daripada pemproses Intel Core Generasi ke-10 terkini. Unit ulasan yang penulis terima hadir dengan konfigurasi Intel Core i7-10510U dan dipadankan dengan RAM 16 GB LPDDR3 serta storan  1 TB SSD. Di Malaysia terdapat juga pilihan pemproses Intel Core-i5 10210U, memori sebesar 8GB RAM dan storan 512GB.

Pengguna boleh menambah saiz storan kerana dua slot untuk SSD disertakan oleh Asus. Namun begitu saiz RAM adalah kekal seperti semasa pembelian kerana ia dipaterikan terus ke papan induk.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan cip grafik Intel UHD Graphics 620 sahaja. Selain itu, sebuah kamera HD 720p juga disertakan pada bingkai untuk bertujuan untuk melakukan panggilan video dan ia didatangkan dengan penutup gelongsor manual.

Jadi, pengguna tidak perlu lagi meletakkan sebarang pelekat pada kamera untuk kawalan privasi peribadi. Kamera ini juga boleh digunakan untuk menyahkunci peranti melalui sistem pengecaman wajah melalui sistem Windows Hello. Sebagai alternatif lain, komputer riba ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan lain termasuklah pengimbas cap jari dan cip bersepadu TPM 2.0 (Trusted Platform Module) untuk melindungi data penting pengguna.

Dalam pada itu, Asus juga dilihat melakukan sesuatu yang hebat apabila menyertakan pelbagai pilihan I/O yang baik pada peranti ini. Walaupun tidak dapat dinafikan badannya kompak dan padat namun ia dilengkapi dengan dua port USB-C dengan sokongan Thunderbolt 3, HDMI standard untuk sambungan rangkaian berwayar, port USB 3.1 Gen1 Type-A, kunci Kensington dan bicu audio 3.5mm untuk audio.

Adalah semakin sukar melihat pilihan I/O yang lengkap pada komputer riba kompak moden. Jika kritikan ingin diberikan ialah pembaca kad SD sahaja yang tidak disertakan. Ia pada hemat penulis adalah lebih berguna berbanding port RJ45 LAN dalam bentuk port mikro HDMI yang disertakan.

Untuk makluman, salah satu palam USB Type-C ini juga boleh digunakan untuk mengecas walaupun apabila komputer riba ini dipadamkan sepenuhnya. Melengkapi peranti adalah bateri empat sel sebesar 66Wh bersama pengecas 65W. Jika anda mementingkan keringanan daripada ketahanan bateri, model dengan bateri 2 sel 33 Wh turut ditawarkan di Malaysia. Asus turut mengekalkan kerjasama dengan pakar audio terkenal, Harman Kardon bagi menala sistem audio yang disertakan.

Reka Bentuk

Meskipun tidak menggunakan paparan sesentuh, komputer riba ini memiliki sejumlah penawaran tersendiri yang menarik. Paling menarik perhatian adalah binaan bezel berukuran 4mm yang sangat nipis pada keempat-empat sisi menjadikannya kelihatan lebih seimbang pada rekaannya. Asus juga dilihat bijak memaksimakan paparan dengan menyembunyikan bezel pada bahagian bawah di belakang badan utama.

Bersama nisbah skrin-ke-badan yang tinggi mencecah 94%, ia seolah-olah memberikan penulis melihat skrin dengan persembahan paparan yang penuh. Malah tidak dinafikan, pelbagai kandungan juga boleh dilihat dalam satu paparan pada komputer riba ini tanpa perlu menatal skrin. Paparan ini juga dilapisi dengan perlindungan anti-silau untuk melindungi mata sekaligus memberikan keselesaan dalam menggunakan komputer untuk jangka masa yang lama.

Sepanjang penggunaan, penulis mendapati paparannya cukup jelas, tajam dan mempunyai sudut pandangan yang baik. Tahap keterangan pada skrin juga berapa pada tahap memuaskan tanpa masalah silau yang ketara.

Dengan berat kurang daripada 1kg, secara jujurnya penulis katakan bahawa pengalaman memegang komputer riba ini terasa seronok kerana ia begitu ringan dan boleh dipegang dengan sebelah tangan tanpa mengakibatkan rasa lenguh pada lengan. Selain itu, rekaan engsel pada komputer riba ini juga menarik perhatian penulis di mana ia akan menjongketkan sedikit pada bahagian bawah untuk pengudaraan yang lebih baik apabila ia berada dalam keadaan dibuka separuh. Engsel juga memberikan kebebasan skrin dibuka sehingga 180 darjah sekaligus ia memberikan kebebasan kepada pengguna untuk melarasnya pada kedudukan yang lebih selesa.

Hampir keseluruhan komputer riba ini menggunakan aloi magnesium-lithium yang digunakan oleh kebanyakan komputer riba. Kecuali, bingkai pada paparan yang diperbuat daripada plastik. Pada bahagian bawah terdapat empat pelapik getah bertujuan memastikan komputer riba ini melekap dengan cengkaman yang baik pada permukaan meja. Selain itu, terdapat juga lohong udara yang diletakkan pada bahagian belakang sebagai sistem penyejukan komponen dalaman untuk memastikan keselesaan sepanjang penggunaan.

Penulis tidak mempunyai sebarang rungutan mengenai masalah pemanasan haba melampau apabila digunakan untuk jangka masa yang lama. Penulis juga masih boleh menggunakan komputer riba ini diatas riba tanpa sebarang masalah.

 

Papan Kekunci

Asus ExpertBook B9450 boleh dikatakan terbaik untuk prestasi, namun terdapat sedikit kelemahan pada papan kekuncinya. Sejujurnya, ia terasa sedikit janggal pada awal penggunaan dan penulis memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan papan kekunci ini. Ada masanya, penulis secara tidak sengaja tertekan butang kuasa apabila ingin menekan kekunci delete kerana kedua-duanya diletakkan secara bersebelahan dengan ukuran rekaan yang sama. Tetapi, tidak perlu risau kerana lama-kelamaan pengguna akan terbiasa dengan rekaan papan kekunci ini.

Pun begitu, pujian masih diberi kepada papan kekunci ini kerana ia memberikan maklum balas yang baik apabila kekunci ditekan. Seperti penulis katakan sebelumnya, lama-lama anda akan terbiasa dengan papan kekunci ini dan penulis mendapati pengalaman penggunaan terasa selesa untuk tugasan menaip selepas membiasakan jari selama lebih kurang dalam satu jam. Binaan papan kekunci juga teguh dan ia dilengkapi dengan lampu bawahan berwarna putih dengan tahap pencahayaan memuaskan.

Menariknya, tahap keterangan pencahayaan lampu ini boleh dinyahaktif dan dilaraskan dengan menekan pada butang kekunci F7. Tetapan pencahayaan ini terdiri dengan tiga pilihan tahap keterangan. Penulis berpuas hati dengan tahap pencahayaan yang dipersembahkan, malah melaluinya proses menaip di dalam gelap juga terasa mudah.

 

Pad Sesentuh

Komputer riba ini didatangkan dengan rekaan pad sesentuh yang besar dan permukaannya agak licin. Ia sekaligus, memudahkan pergerakan jari dan berupaya mempersembahkan prestasi yang baik dengan pengesanan pergerakan tepat. Sepanjang penggunaan, penulis mendapati proses menatal dan dan aktiviti melibatkan pad sesentuh ini terasa terasa lancar sahaja.

Seperti biasa, salah satu ciri unik pada sesebuah komputer riba Asus adalah fungsi NumberPad. Fungsi di mana membolehkan pad sesentuh pada komputer riba ini dijadikan sebagai numberpad sekaligus melaluinya pengguna boleh memasukkan data ataupun melakukan proses pengiraan dengan cepat. Fungsi ini didatangkan dengan lampu LED dan ia boleh diaktifkan serta dinyahaktif dengan hanya menekan ikon numberpad di sudut kanan pada pad sesentuh. Tahap pencahayaan lampu LED ini juga boleh dilaras mengikut keselesaan pengguna dengan menekan pada ikon tiga segi di sebelah kiri pada pad sesentuh. Anda juga tidak perlu risau kerana meskipun fungsi ini diaktifkan, sokongan kursor masih boleh digunakan seperti biasa.

Sejujurnya, penulis lebih gemar menggunakan fungsi ini berbanding kekunci angka yang terbina pada papan kekunci. Melaluinya, penulis boleh memasukkan angka dengan mudah dan pantas. Cumanya, penulis sering kali terlupa untuk menyahaktifkan fungsi tersebut dan berhadapan dengan masalah tertekan angka pada pad tersebut secara tidak sengaja kerana ia sangat sensitif.

 

Pengalaman Penggunaan

Untuk pengalaman penggunaan, penulis memberikan pujian kepada rekaan peranti ini yang sangat kompak. Dengan ukuran saiz diameter yang nipis dan ringan, pengalaman membawa komputer riba ini tidaklah terasa membebankan. Seterusnya, pujian diberikan kepada kepada kepantasan prestasi komputer riba ini dalam menjalankan tugasan harian di mana tiada masalah berat ditemui sepanjang tempoh ulasan. Proses membuka tab yang banyak juga tiada lengah masa yang ketara. Selain itu, penggunaan komputer riba untuk jangka masa yang lama juga terasa selesa tanpa masalah haba yang melampau.

Kritikan diberikan kepada rekaan papan kekunci yang sedikit janggal terutamanya pada penggunaan awal. Penulis sering berhadapan dengan masalah tertekan butang kekunci yang salah. Contohnya, penulis ingin memadam sesuatu dengan butang kekunci delete. Namun, penulis sering kali tersalah dengan menekan butang kuasa sekaligus menyebabkan komputer riba terpadam sepenuhnya. Perkara ini agak menjengkelkan.

Bagaimanapun, lama-kelamaan penulis terbiasa dengan butang kekunci ini. Pujian juga masih boleh diberi kepada keselesaan butang papan kekunci yang sedap untuk ditekan dan ianya tidak melenguhkan tangan ketika proses menaip. Saiz ruangan bahagian tempat letak tangan juga sesuai dengan keselesaan penulis dan memberikan kebebasan menaip tanpa sebarang masalah.

Sokongan teknologi Harmon Kardon yang digunakan pada peranti ini boleh dikategorikan sebagai memuaskan untuk didengar. Bagi meningkatkan kualiti audio penulis menyarankan pengguna mengaktifkan Audio Wizard untuk tetapan audio yang terbaik. Sungguhpun begitu kerana pembesar suara diletakkan pada bahagian bawah, permukaan meja yang rata diperlukan untuk pengalaman audio yang baik. Kelantangan dan kejelasan audio amat bergantung kepada kehadiran permukaan keras untuk memantulkan semua audio ke telinga.

 

Ujian Penanda Aras

Melalui penggunaan pemproses Intel Core i7-10510U dengan memori sebesar 16GB RAM – proses mengendali komputer riba ini dalam dunia nyata terasa baik. Sepanjang penggunaan, penulis mendapati komputer riba ini berupaya melakukan pelbagai tugasan ringkas seperti menaip dan menonton video dengan lancar tanpa sebarang isu sela masa.

Selain itu, tiada masalah ketara ditemui ketika melancarkan sejumlah program dengan pantas. Proses menghidupkan skrin juga begitu pantas di mana angkat sahaja skrin, paparan akan terus menyala. Penulis juga sempat melakukan beberapa ujian penanda aras untuk menguji prestasi pada peranti ini. Berikut adalah hasil ujian yang dijalankan :

 

Bateri

Menyentuh mengenai jangka hayat bateri, di atas kertas Asus mendakwa komputer riba ini dikatakan mempunyai kemampuan ketahanan bateri sehingga 24 jam lamanya. Tetapi, mesra diingatkan ia bergantung kepada penggunaan harian masing-masing. Pada penggunaan dunia sebenar, penulis mendapati purata ketahanan bateri yang diterima adalah sekitar lapan hingga sembilan jam dengan sekali pengecasan penuh.

Antara aktiviti yang dilakukan oleh penulis termasuklah sejumlah tugasan ringkas seperti menaip, menonton video dan menstrim audio pada waktu yang sama dengan tahap keterangan skrin pada 50 peratus. Untuk makluman, penulis menggunakan Wi-Fi untuk sambungan ke internet sepanjang ulasan ini dijalankan. Untuk pengecasan semula, komputer riba ini dilihat mengambil masa sekitar 2 jam dan 30 minit untuk pengecasan penuh.

Meneruskan tema kompak dan ringan Asus ExpertBook B9450FA, pengecas yang disertakan juga bersaiz kecil dan tidak berat. Secara lazimnya pengecas 65W menggunakan blok kuasa yang besar dan berat tetapi tidak [ada Asus ExpertBook B9450FA. Tiada masalah ia memakan ruang yang besar di dalam beg galas di sini.

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, penulis boleh katakan Asus ExpertBook B9450FA adalah antara pilihan terbaik untuk dijadikan sebagai komputer riba harian. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pakej teknologi yang baik bersama ciri menarik untuk pengalaman lebih memuaskan. Dipadankan pula dengan sokongan bateri yang dikatakan memuaskan, komputer riba ini terasa berbaloi untuk dimiliki. Terutamanya bagi golongan seperti penulis yang sering menggunakan komputer riba untuk jangka masa yang lama untuk penggunaan di pejabat.

Walaupun Asus ExpertBook B9450FA mempunyai spesifikasi yang tinggi bagi sebuah komputer kerja, ia masih hanya “seberat” 870 gram sahaja dan setebal 14.9mm. Tambah mengagumkan Asus masih berjaya menyertakan I/O utama seperti HMDI, USB-A, kunci Kensington, bicu audio dan USB-C tanpa mengorbankannya atas alasan kekurangan ruang.

Pemilik komputer riba tidak perlu berbelanja lebih untuk dongel atau membawa dongel tambahan semata-mata untuk melakukan kerja. Akhir kata Asus ExpertBook B9450FA ialah komputer riba yang ringan tetapi masih boleh digunakan untuk melakukan tugasan kerja yang berat tanpa masalah.

Bagi yang berminat, pra-tempahan untuk Asus ExpertBook kini telah dibuka. Jualan untuk pasaran tempatan boleh didapati menerusi beberapa seluran berbeza termasuk LazadaShopee dan paran pengedar sah di seluruh Malaysia pada penawaran harga seperti berikut:

  • ASUS ExpertBook B9450 (Core i5, 8GB RAM, 2Cell) – RM6,299
  • ASUS ExpertBook B9450 (Core i5, 8GB RAM, 4Cell) – RM6,599
  • ASUS ExpertBook B9450 (Core i7, 16GB RAM, 4Cell) – RM8,299
  • ASUS ExpertBook B9450 (Core i7, 16GB RAM, 4Cell) – RM8,599

 

PRO & KELEBIHAN

  • Rekaan nipis dan ringan
  • Paparan yang tajam dan memuaskan dengan bezel seimbang
  • Pilihan I/O yang lengkap walaupun mempunyai rekaan yang nipis.
  • Prestasi yang tinggi dengan spesifikasi terkini
  • Jangka hayat bateri yang lama
  • Tiada masalah isu haba yang melampau

 

KONTRA & KEKURANGAN

  • Rekaan papan kekunci yang sedikit janggal
  • Tiada sokongan skrin sesentuh.
  • Pembesar suara menghala ke bawah adalah kurang lantang.
  • Penawaran harga yang agak tinggi.
  • RAM yang dipateri kepada papan induk. Tiada sokongan penambahan RAM pasca pembelian.

Komen