Paparan Gaming Melengkung Samsung Odyssey G7 Dilancarkan – Bakal Memasuki Pasaran Tempatan

Paparan Gaming Melengkung Samsung Odyssey G7 Dilancarkan – Bakal Memasuki Pasaran Tempatan

Diterbitkan pada June 1, 2020 oleh .

Samsung mungkin lebih dikenali untuk peranti dan aksesori pintar mereka, tetapi mereka juga dilihat membangunkan peranti seperti komputer riba, televisyen, komponen storan dan memori dan juga paparan skrin untuk komputer.

Bercakap mengenai paparan skrin, Samsung mengumumkan bahawa mereka telah mula melancarkan paparan skrin gaming melengkung Samsung Odyssey G7.

Hadir dalam pilihan saiz 27 dan 32 inci, paparan Odyssey G7 ini dilengkapi dengan paparan melengkung 1000R, ataupun radius lengkungan 1000mm yang menggunakan panel QLED yang biasa dilihat pada televisyen-televisyen terbaru Samsung.

Bukan itu sahaja, paparan Odyssey G7 ini mempunyai kadar segar semula setinggi 240Hz dan juga lengah masa serendah 1ms dan mempunyai resolusi WQHD 2560×1440.

Satu lagi ciri yang pasti diingini oleh gamer tegar ialah sokongan untuk teknologi grafik NVIDIA G-SYNC dan juga Adaptive Sync untuk pengalaman gaming terbaik tidak kira jenis kad grafik yang digunakan dalam komputer anda.

Laman web Samsung mengatakan bahawa paparan Samsung Odyssey G7 ini akan tiba di pasaran-pasaran terpilih. Lowyat.Net juga melaporkan bahawa pihak Samsung Malaysia telah mengesahkan paparan ini akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi. Walaupun begitu, tarikh pelancaran dan tanda harga belum ditetapkan lagi.



TIPS & ULASAN