Cari @ Amanz

Taiwan Semiconductor Manufacturing Company ataupun TSMC ialah syarikat pembuat cip semikonduktor pertama yang telah menyempurnakan teknologi pembuatan cip dengan proses 5nm. yang bakal digunakan oleh pelbagai syarikat pembangun teknologi.

Terkini, ia dilaporkan bahawa TSMC akan mula pembangunan cip pemprosesan menggunakan proses 5nm sekitar suku keempat tahun ini. Syarikat-syarikat seperti Apple, Huawei dan NVIDIA dilaporkan akan menggunakan perkhidmatan TSMC untuk membangunkan cip-cip pemprosesan mereka, tetapi nampaknya ada perkembangan yang cukup menarik sedang berlaku dibelakang tabir.

Apple dan NVIDIA dilaporkan akan menggunakan cip yang dibina menggunakan proses 5nm untuk Apple iPhone 12 dan kad grafik generasi akan datang mereka.

Sayangnya, Huawei yang juga bergantung kepada TSMC untuk membangunkan cip pemprosesan 5nm mereka kini nampaknya terpaksa mencari pembina lain kerana perjanjian yang telah dimeterai dengan kerajaan Amerika Syarikat.

Terkini, terdapat ura-ura bahawa cip pemprosesan AMD Zen 3 “Vermeer” akan dibina menggunakan proses 5nm ini, dan bukannya 7nm+ yang diumumkan oleh mereka sekian lamanya. Mengikut pelan asal, cip pemprosesan 5nm hanya akan hadir pada cip AMD Zen 4 yang sepatutnya hanya akan diperlihatkan pada sekitar tahun hadapan.

Walaupun ianya benar bahawa TSMC akan mula membangunkan cip 5nm ini pada penghujung tahun ini, ura-ura mengenai AMD menukar proses pembuatan cip pemprosesan mereka masih tidak diketahui kesahihannya buat masa ini.

Walaupun begitu, cip yang dibangunkan menggunakan proses 5nm ini dijangka akan menambahkan lagi prestasi dan ciri-ciri terbina didalam peranti-peranti yang akan dilancarkan di masa hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd