Microsoft Malaysia telah mengumumkan bahawa pra-tempah untuk peranti-peranti Microsoft Surface Book 3 dan juga Microsoft Surface Go 2 telah dibuka bermula hari ini.
Bermula dengan Microsoft Surface Book 3, ia adalah sebuah komputer riba 2-dalam-1 yang boleh dicabut bahagian paparannya untuk dijadikan sebuah tablet yang berkuasa.
Buat kali pertama ia hadir dalam dua pilihan saiz paparan PixelSense iaitu 13.5 inci dan juga 15.0 inci dengan resolusi 3000×2000 dan 3260×2140 pixel. Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel generasi kesepuluh Comet Lake, memori DDR4 sehingga 32GB dan storan SSD PCIe sebesar 1TB.
Dari segi pilihan cip grafik, ia dilengkapi dengan pilihan cip grafik NVIDIA GeForce GTX1650, GTX 1660, GTX 1660Ti ataupun NVIDIA Quadro RTX 3000.
Microsoft Surface Go 2 pula ialah generasi kedua tablet produktiviti mampu-milik Microsoft yang hadir dengan paparan PixelSense bersaiz 10.5 inci dengan resolusi 1800×1200 pixel yang cukup tinggi.
Ia dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Pentium Gold dan Intel Core m3, memori DDR4 sehingga 8GB, storan eMMC 64GB ataupun SSD 128GB bersama-sama dengan sokongan untuk sambungan LTE.
Selain daripada itu, aksesori Microsoft Surface Dock 2 juga sudah dibuka pra-tempahnya, iaitu sebuah dermaga yang menambahkan sokongan palam tambahan untuk peranti-peranti surface.
Microsoft Malaysia mengatakan bahawa pra-tempah untuk kesemua peranti dan aksesori ini dibuka bermula hari ini melalui platform atas talian seperti Lazada dan Shopee dan juga pengedar-pengedar sah peranti-peranti Microsoft di sekitar Malaysia.
Harga permulaan untuk Microsoft Surface Book 3 bermula daripada RM7788, manakala untuk Microsoft Surface Go 2 pula, harga model permulaan peranti tersebut ialah RM1955. Aksesori Surface Dock 2 pula boleh dipra-tempah pada harga RM1400.