Cari @ Amanz

Terdapat banyak jenis kabel yang wujud di dunia ini untuk digunakan pada telefon pintar, kamera, aksesori audio, konsol permainan dan banyak lagi. Kita ada USB-C, USB-A, MicroUSB dan Lightning, semuanya mempunyai kegunaan tersendiri dan boleh digunakan pada segelinitir produk. Tidak ada yang satu kabel untuk semua lagi. Kewujudan USB-C sudah cukup baik dengan hasrat untuk menyeragamkan semua peranti menggunakan USB jenis ini, tetapi banyak pengeluar masih berdegil ingin menggunakan MicroUSB dan Lightning lagi.

Jika orang yang macam kami bekerja di Amanz, memiliki banyak peranti untuk digunakan secara peribadi atau untuk ujian – kusut kepala untuk kerap bertukar-tukar kabel. Lebih-lebih lagi jika kerap merantau ke luar negara atau keluar dari pejabat untuk ke acara-acara pelancaran. Kami perlu membawa hampir kesemua kabel untuk mengecas peranti, komputer riba dan juga kamera. Jika ingin membawa kabel dalam jumlah yang sedikit, kami perlu membawa penyesuai untuk memudahkan lagi. Sehinggalah baru-baru ini, Rolling Square hadir dengan jalan penyelesaian melalui kabel inCharge 6 – iaitu raja segala kabel. Ini adalah ulasan kami.


Spesifikasi

Kabel inCharge 6 hadir dengan dua saiz, pendek dan panjang. Satu adalah 5-inci iaitu sekitar 12-13 cm dan yang panjang adalah 1.5m. Fokus Rolling Square pada kabel ini adalah yang kecil yang mana adalah berfungsi sebagai rantai kunci yang mudah di bawa ke mana-mana sahaja dan yang panjang pula adalah sebagai alternatif. Seperti namanya sendiri inCharge 6, ia adalah generasi yang keenam yang pernah dilancarkan sebelum ini. Ini bermakna ia adalah satu aksesori yang berjaya dan satu inovasi terbaik pernah wujud dalam dunia kabel. Seperti kebanyakan kabel lain, ia berfungsi sebagai kabel untuk pemindahan data dan juga pengecasan.

Keunikan inCharge 6 ini adalah ia sejenis kabel semua dalam satu. Lebih tepat, terdapat enam kabel terbina dalam satu kabel. Berikut adalah senarai;

  • USB-A – USB-C
  • USB-A – Lightning
  • USB-A – MicroUSB
  • USB-C – USB-C
  • USB-C – Lightning
  • USB-C – MicroUSB

Jika kabel ini berada di dalam tangan anda, anda akan menjadi khuatir di mana satukah microUSB? Yang kelihatan pada kabel ini hanya A,C dan Lightning sahaja. Jawapannya mudah, microUSB dibina pada Lightning – menjadikan ia adalah lightning hibrid. Ini adalah kali pertama kami sendiri saksikan keunikan kabel hibrid ini. Lebih pelik, ia berfungsi dengan baik sekali.

Pada bahagian USB-A + USB-C adalah untuk In dan USB-C + Lightning/MicroUSB adalah Out. inCharge 6 turut mampu mengubah sebuah peranti menjadi power bank dengan mudah. Contohnya, bahagian In dimasukkan ke peranti seperti Black Shark 3 Pro melalui port USB-C dan bahagian Out dimasukkan ke dalam iPhone SE 2020 – Black Shark 3 Pro tadi secara automatik berubah menjadi power bank untuk iPhone tadi.

Penggunaan

Kabel ini memang memudahkan penggunaan harian kami. Daripada membawa ke hulu dan ke hilir enam kabel, kami hanya perlu membawa dalam dua tau tiga kabel sahaja. Kadangkala kami hanya membawa inCharge 6 ini sahaja. Soal diri kembali, berapa kerap sesebuah peranti itu perlu dicas dan berapa banyak peranti perlu dicas dalam masa yang sama. Seperti kami yang mengulas gajet dan memiliki banyak aksesori audio atau kamera, kami perlukan banyak kabel dan kadangkala sekurang-kurangnya dua peranti perlu dicas serentak dalam masa yang sama. Jadi, kami memerlukan dua kabel. Jika hanya penggunaan kasual, kami hanya membawa satu kabel sahaja sudah mencukupi.

Power bank yang kami miliki biasanya berkapasiti lebih 10,000mAh, dan ia tebal dan berat. Jadi dengan hanya membawa satu peranti Android dengan kapasiti bateri yang besar, iPhone SE yang bateri kecil dan kabel inCharge 6 – kehidupan seharian boleh dikatakan lengkap dan mencukupi sahaja. Peranti Android tadi digunakan untuk cas iPhone SE.

Seterusnya, pasti ramai tertanya apakah piawaian pengecasan yang digunakan pada kabel ini? Apa yang kami boleh katakan adalah, ia menggunakan Power Delivery yang asas. Dalam percubaan, ia boleh mengecas power bank, Nintendo Switch, set fon telinga atau kepala, mana-mana telefon pintar dan tidak kira jenis kabel apa yang digunakan ia akan berfungsi dengan baik sekali. Disebabkan ia hanya menggunana USB-PD yang asas, jadi komputer riba tidak boleh dicas.

Kemudian perlu diingatkan, untuk Lightning – ia tiada sebarang pengiktirafan MFI. Dalam percubaan kami, tiada sebaran isu yang berlaku apabila ditambat pada komputer, digunakan untuk mengecas atau menggunakan iTunes. Pengecasan juga dapat mengecas dengan pantas melalui USB-C ke Lightning. Disebabkan bahagian Lightning yang digabungkan dengan MicroUSB – MFI tidak dapat diiktiraf. Rolling Square mendakwa yang MFI tidak diperlukan, kerana sasaran kabel ini adalah sebagai kabel universal – satu kabel boleh cas semua.

Rolling Square turut menawarkan inCharge 6 Max, iaitu versi panjang. Pada kami, kami lebih selesa menggunakan yang pendek kerana mudah dan efisien. Jika mereka tambah kemampuan mengecas komputer riba, yang panjang ini akan menjadi relevan dan amat berguna. Jika ada sebarang masalah pula, Rolling Square menawarkan jaminan sehingga dua tahun.

Rekaan

Pihak Rolling Square memberi perhatian penuh pada rekaan dan bahan binaan kabel ini bagi memastikan kualiti yang baik dan ia kukuh. Dari laman biayasama Indiegogo mereka, di mana mereka mengumpul dana dan menjual kabel ini – mereka mendakwa yang kabel ini dibina dengan kukuh sekali dan tahan lasak. Kerangka kabel ini dibina dari logam dan bahagian bawah kerangka diperkukuh dengan sejenis TPU untuk melindungi kabel. Wayar-wayar di dalam kabel ini pula dilindungi dengan TPU dan bahan jenis Nylon untuk kemasan braided dan ketahanan yang lebih lama.

Jika anda teliti, inCharge 6 sebenarnya hanyalah kabel USB-C ke Lightning dengan penyesuai USB-A dan satu lagi USB-C terbina. Ia digabungkan pada satu kabel dan dibina dengan kukuh. Penyesuai itu boleh dikatakan adalah mekanisme yang menjadikan kabel ini satu kabel yang magis. Tambahan lagi, turut terdapat magnet terbina pada kabel ini untuk memudahkan lagi kerja-kerja pengurusan kabel. Untuk yang pendek, magnet inilah yang menjadikan kabel ini sebagai rantai kunci.

Rolling Square menawarkan tiga warna, Mercury Grey, Moon White dan Saturn Gold. Tetapi bagi yang menyokong projek ini di Indiegogo, mereka tawarkan untuk membeli warna edisi khas Nebula Chrome. Secara asasnya ia adalah warna kelabu gelap seakan Space Grey, warna putih yang sedikit seakan perak yang pusam dan warna emas yang pusam. Manakala warna edisi khas tadi pula, hanyalah seakan warna chrome atau perak yang berkilat.

Konklusi

inCharge 6 dari Rolling Square ini sememangnya adalah raja segala kabel. Ia adalah satu aksesori yang wajib dimiliki oleh semua orang. Ia sudah 90% sempurna, semuanya ada, tidak pening kepala, boleh mengecas dengan pantas (walaupun hanya asas, iPhone 18W misalnya), memindahkan data dengan baik dan mengubah peranti lain menjadi power bank. Bukan itu sahaja, bahan binaan pada kabel ini juga adalah kualiti tinggi dan menjamin ketahanan untuk jangka masa yang lebih panjang.

Ia tidak sempurna 100% kerana tidak mampu menyokong pengecasan untuk komputer riba. Itu sahaja, lain-lain pada kami ia adalah satu kabel yang mempunyai pakej yang lengkap. Dengan inCharge 6 ini juga, bukan sahaja tidak perlu membawa banyak kabel – tetapi turut boleh berhenti membawa banyak penyesuai yang kecil yang ditakdirkan untuk hilang suatu hari nanti. Hanya penggunaan dalam masa kurang seminggu, kabel ini telah menjadi kabel kegemaran.

Kekurangan lagi satu adalah pada inCharge 6 Max, yang mana versi panjang mereka. Ia tidak berfungsi dengan baik untuk kami. Ini kerana kami pernah membeli dengan sendiri inCharge 6 Max dan ia tidak ada masalah langsung. Jadi ada kemungkinan besar, hanya unit ulasan ini sahaja tidak berfungsi dengan baik.

Dari segi harga; Rolling Square mengumpul dana sebanyak RM58 untuk satu kabel pendek dan RM82 untuk yang panjang. Terdapat juga harga kombo lima unit satu pakej yang menjadikan seunit hanya RM42.5 atau kombo kabel pendek dan panjang (3+2) yang berharga hanya RM299. Jika anda ingin tanya pendapat kami, untuk harga bawah RM100, dengan kualiti yang hebat, padat dengan ciri – ia adalah satu pembelian yang tidak akan membuatkan anda kesal. Bagi yang berminat, anda boleh beli terus di laman Indiegogo – setiap pembelian ada caj pengahntaran sebanyak €15 (~RM72). Jadi anda digalakkan membeli secara pukal atau cari penjual yang sudah memborong.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Rekaan yang cantik, unik dan berkualiti tinggi.
  • Menyokong mana-mana telefon Android atau iOS.
  • Boleh menjadikan peranti USB-C lain sebagai power bank.
  • Enam kabel terbina dalam satu kabel.
  • Mempunyai magnet yang memudahkan pengurusan kabel.
  • Harga sangat mampu milik.
  • Tidak menyokong pengecasan komputer riba.
  • Bahagian penyesuai kadangkala longgar.
  • MicroUSB juga kadangkala longgar.
  • Cara pembelian agak sukar dengan kos penghantaran mahal.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd