Bing Maps adalah perkhidmatan pemetaan dari Microsoft, seperti mana Google dengan Google Maps dan Apple dengan Apple Maps. Bing Maps sebelum ini menggunakan data pemetaan tersendiri dan hanya baru-baru ini, mereka menggunakan data pemetaan asas dari TomTom. Bagi yang tidak tahu, Microsoft dan TomTom sudah mula membuat perjanjian sejak Februari tahun lepas lagi untuk mendapat akses data trafik dan data lain untuk sistem pemetaan Azure Maps. Azure pula adalah perkhidmatan untuk para usahawan dari Microsoft. Penggunaan data ini membolehkan platform Azure dan Bing Maps menggunakan data-data TomTom untuk mengumpul data dalam masa nyata seperti harga parkir dan data trafik yang lebih spesifik mengikut jalan.
Kini giliran Bing Maps pula menggunakan data pemetaan TomTom. Penggunaan data pemetaan ini sudah pun bermula sejak bulan Mac lagi, cuma ia terhad pada laman web Bing.com. Pengguna Bing maps sedia ada tidak perlu buat apa-apa dan boleh menggunakan aplikasi ini seperti biasa. Ini kerana, segala pemindahan data ini berlaku secara automatik dan segala API dan SDK masih kekal sama dari Bing – hanya data pemetaan asas sahaja berubah.