Motorola adalah sebuah jenama lagenda yang tidak asing lagi dalam dunia teknologi. Baru-baru ini, mereka telah muncul dengan penawaran baru untuk segmen peranti perdana menerusi Motorola Edge+. Ia tampil dengan prestasi lebih baik melalui janaan cip terkini Snapdragon 865, konfigurasi kamera tinggi 108-Megapixel dan bateri 5,000mAh.
Seperti dikatakan, peranti ini mempunyai sensor kemera utama yang tinggi. Jadi, pasti ramai di luar sana akan bertanyakan sejauh mana hebatnya keupayaan kameranya? Oleh itu, kini DxOMark telah berkongsi laporan ujian kemampuan kamera untuk peranti ini.
Keputusan ujian menunjukkan Motorola Edge+ berjaya merangkul markah sebanyak 113 mata. Skor yang dicatatkan dilihat setanding dengan Honor 20 Pro dan Samsung Galaxy S10+. Melalui kutipan markah ini, Motorola Edge+ mencatatkan 119 mata untuk kemampuan fotografi dan 101 mata pula untuk kemampuan video.
Pujian diberikan kepada kemampuan kamera menghasilkan kualiti imej dengan keperincian terbaik, keupayaan mengawal hingar yang minima dan imbangan putih yang konsisten. Kritikan pula diberikan kepada julat dinamik yang terhad, kegagalan kamera menghasilkan perincian yang baik pada pencahayaan rendah dan butiran agak kurang memuaskan untuk fungsi zum.
Untuk rakaman video, ia dikatakan baik dengan penghasilan perincian subjek yang memuaskan, autofokus yang tepat dan kawalan hingar minima. Namun, kritikan pula diberikan kepada fungsi penstabilan yang dikatakan gagal berfungsi dengan baik.
Sekadar selingan, perkara ini seolah mengiyakan teori yang mengatakan megapixel bukan segalanya dan kamera dengan lensa yang besar belum tentu menghasilkan kualiti yang baik. Adakah anda juga bersetuju dengan teori ini?