Cari @ Amanz

Antara perkara pertama yang dilakukan majikan sekarang ialah melakukan saringan latar belakang ke atas permohonan kerja yang diiklankan. Proses paling mudah ialah mencari akaun media sosial yang sering boleh diakses dengan mudah. Sudah terdapat banyak kes pemohon gagal sebelum sempat menjalani proses temuduga kerana status media sosial lama yang tidak selari dengan pandangan bakal majikan.

Kerana media sosial sudah wujud hampir dua dekad, kadang kala status 145yang ditulis ketika masih berusia 16 tahun boleh memakan diri anda sekarang. Oleh itu Manage Activity diperkenalkan oleh Facebook hari ini bagi memudahkan proses memadam atau menyorokkan status lama. Pengguna boleh memilih untuk memadam terus atau menyembunyikannya ke dalam arkib untuk tontonan peribadi.

Dengan Manage Activity, proses membersihkan status media sosial akan menjadi lebih mudah kerana ia turut hadir dengan fungsi carian kata kunci, tarikh dan nama insan yang disematkan pada status. Status yang dipadam kemudian akan disimpan selama 30 hari sebelum dipadamkan selama-lamanya. Namun begitu terdapat juga pilihan untuk memadamkannya terus tanpa perlu menanti.

Ciri ini sudah boleh digunakan pada aplikasi Facebook dan Facebook Lite bermula hari ini dengan versi desktop akan diberikan dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd