Pernah atau tidak anda idamkan untuk memiliki sebuah robot yang boleh menurut perintah anda. Arahkan buat A, ia akan buat A dan kalau arahkan B, ia akan buat B dan tidak akan katakan tidak. Kemudian, segala perkara yang ia buat adalah sempurna dan membuatkan anda bahagia. Pembantu digital seperti Google Assistant, Siri atau Alexa adalah antara langkah awal untuk kita semua ke arah robot mendengari arahan kita.
Terkini di acara ICRA 2020, University of Cambridge telah memperlihatkan sebuah robot yang boleh menggoreng telur dadar dengan sempurna. Robot ini diberi nama OmeletteBot dan ia akan belajar sedikit demi sedikit bagaimana cara untuk menggoreng telur dadar yang sempurna, sehingga ia sesuai dengan cita rasa pengguna. Menurut sumber, OmeletteBot adalah antara yang pertama dari jenisnya. Robot yang memasak mengikut resipi dan robot yang memasak untuk mengikut cita rasa pengguna adalah berbeza. Robot yang mengikut resipi hanya menurut perintah dari apa yang diprogramkan, tetapi OmeletteBot ini belajar sehingga pandai menggoreng telur yang terbaik.
Robot ini akan menggoreng telur berdasarkan tiga nilai utama, iaitu rasa, tekstur dan juga paras rupa. Setiap satu mempunyai skala nilai dari 1-10, yang mana adalah berdasarkan cita rasa seseorang. Robot ini juga boleh dilaraskan untuk tahap berapa banyak garam, lada hitam, masa mengacau, masa di dalam kuali dan juga masa memanas. Data yang digunakan untuk “belajar” adalah dari citarasa manusia dan dimasukkan dalam pengotpimasian Bayesian agar OmeletteBot mempunyai lebih banyak cara menggoreng telur yang pasti akan kena dengan citarasa ramai orang.