Vivo memperluaskan lagi penawaran perantinya melalui kemunculan siri X50, baru-baru ini. Ia muncul dengan tiga model iaitu Vivo X50, Vivo X50 Pro dan Vivo X50 Pro+. Fokus utama kali ini terletak pada keupayaan fotografinya yang dipertingkatkan dengan sokongan sistem kamera gimbal dan kemampuan zum sehingga 60X.
Difahamkan, Vivo X50 Pro merupakan model paling premium dan kos penghasilannya adalah lebih mahal. Jadi, ramai akan beranggapan ia membawakan fungsi lebih menarik berbanding adik-beradiknya. Tapi sayangnya, Vivo X50 Pro+ tidak menyertakan sistem kamera gimbal seperti X50 Pro dan ia telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ramai.
Lantaran itu, pengurus produk Vivo iaitu Han Boxiao telah tampil menjawab persoalan ini menerusi salah sebuah catatan di laman Weibo. Menurut beliau, sensor 50MP Samsung ISOCELL GN1 sudah cukup besar. Jika ia dipaksa dengan penggunaan sistem gimbal, maka keadaan ini akan sedikit mengganggu pada tetapan dan ia hanya menghasilkan keupayaan penstabilan OIS yang biasa.
Seperti kita sedia maklum, sensor Samsung ini juga telah didatangkan dengan penstabilan imej elektronik terbina. Oleh itu, kita masih boleh mengharapkan hasil yang baik daripadanya. Penghasilan sensor ini juga dikatakan memberi keutamaan kepada keupayaan pemfokusan yang lebih unggul.