HP dilihat begitu agresif dalam meluaskan penawaran produk keluarannya. Terkini, mereka memperkenalkan HP Omen 15 terbaru. Siri Omen memang direka khas untuk golongan penggemar permainan video, penawaran kali ini dilengkapi dengan spesifikasi yang ditambah baik.
Model terbaru ini hadir dengan paparan berukuran 15.6-inci dengan pilihan panel IPS LCD atau OLED dengan resolusi UHD 120 Hz atau FHD 300 Hz. Binaan komputer riba didatangkan dengan rekaan engsel rata yang membolehkan skrin dibuka sehingga 180 darjah.
HP Omen 15 terbaru ini juga ditawarkan dengan CPU AMD Ryzen atau Intel Core. Untuk versi Intel, ia hadir dengan pilihan sehingga Intel Core i7-10750H 6 teras. Untuk versi AMD pula, ia hadir dengan pilihan sehingga AMD Ryzen 7 4800H 8 teras.
Untuk memori, ia menawarkan konfigurasi sehingga 32GB DDR4 RAM dan storan sehingga 1TB PCIe SSD atau dwi-SSD yang menyokong RAID 0. Akhir sekali ialah ialah pilihan GPU sehingga NVIDIA GeForce RTX 2070 Super Max-Q.
Komputer riba ini hadir dalam dua pilihan warna iaitu Mica Silver dan Shadow Black dengan sokongan lampu latar RGB pada papan kekunci. HP Omen 15 ditawarkan pada harga bermula $999 (~RM4,258).