Black Shark adalah satu jenama yang mula dikenali ramai, dengan melancarkan telefon pintar memfokuskan permua. Harga jualan juga adalah mampu milik jika dibandingkan dengan jenama seperti Asus ROG Phone. Bukan itu sahaja, Black Shark turut terkenal dengan menawarkan pelbagai aksesori, dari alat kawalan, kabel, kerangka dan juga aksersori audio.
Salah satu produk audio mereka yang terbaru adalah set fon telinga nirwayar Black Shark Ophidian, yang menjanjikan masa pendam rendah agar pengalaman pendengaran dan penggunaan ketika bermain permua lebih mengasyikkan. Disebabkan fokusnya adalah pada permua, lampu RGB turut terbina pada set fon telinga ini. Untuk pemacu audio, pemacu Knowles 10mm gegelung boleh gerak digunakan, masa pendam rendah 50+ ms, bateri bertahan 14 jam dengan pengecasan 90 minit dan 10 jam ketahanan jika menggunakan RGB dan jika dicas selama 10 minit – ia boleh bertahan selama 4 jam.
Untuk pasaran Malaysia, set fon telinga nirwayar jenis neckband ini digelar sebagai Black Shark Bluetooth Earphones 2 dan dijual pada harga RM399 sahaja. Ia akan mula dijual di laman Shopee rasmi mereka dari 4 Jun sehingga 10 Jun secara eksklusif, sebelum ia hadir secara lebih meluas di masa akan datang.