Cari @ Amanz

Gojek merupakan salah satu syarikat seru-pandu yang hadir dari Indonesia, yang kini turut telah memperluaskan penawaran kepada bukan sahaja perkhidmatan seru-pandu, tetapi juga sejumlah perkhidmatan, termasuk penghantaran makanan dan juga dompet digital.

Gojek sering diposisikan sebagai pesaing untuk Grab di rantau Asia Tenggara ini. Apa pun, Gojek lebih mencuri perhatian pelbagai syarikat gergasi besar untuk melabur pada syarikat mereka.

Selepas Google dan Tencent melabur pada Gojek sebelum ini, kini dua lagi syarikat internet popular melakukan pelaburan pada syarikat berkenaan.

Dua syarikat baru yang kini melabur pada Gojek adalah Facebook dan juga PayPal. Buat masa ini, kedua-dua syarikat tidak menyatakan nilai pelaburan yang dikeluarkan masing-masing terhadap firma Gojek.

Apa pun, untuk Facebook, mereka dilihat lebih berminat untuk mendigitalkan syarikat ke arah edagang melalui penggunaan WhatsApp – salah satu langkah yang turut dilakukan di India sebelum ini.

Untuk PayPal pula, langkah pelaburan ini dijangka akan terus meningkatkan akses kepada pembayaran digital di rantau Asia Tenggara ini.

Gojek buat masa ini mempunyai lebih 170 juta pengguna di Asia Tenggara, dan turut diperkatakan sedang melihat untuk memperluaskan perkhidmatan ke negara-negara lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd