Cari @ Amanz

Amerika Syarikat Menguji Sistem Melancarkan Peluru Berpandu Dari Pesawat Kargo

Link Copied!

Sejak turun temurun pesawat pengebom dibangunkan dengan tujuan untuk mengebom musuh selepas sebelum ini bom perlu dijatuhkan dari kokpit menggunakan tangan. Pesawat pengebom pertama ialah Caproni Ca.1 dari Itali yang terbang pada tahun 1914. Selepas lebih seratus tahun, tentera udara Amerika Syarikat kini menguji pula sistem pelancaran peluru berpandu menggunakan pesawat kargo.

Ujian pertama sistem Cargo Launch Expendable Air Vehicles with Extended Range (CLEAVERs) telah dilakukan Januari lalu dan menunjukkan peluru berpandu boleh dilancarkan dari ruang kargo sebuah Lockheed MC-130J. Harus diingatkan MC-130J ialah sebuah pesawat kargo yang diubahsuai untuk tugas khas dan berbeza dengan versi AC-130 yang memang beroperasi sebagai kereta kebal terbang sejak Perang Vietnam. Selain Lockheed MC-130J, CLEAVERs juga direka untuk dilancarkan dari ruang kargo pesawat Boeing C-17 Globemaster

Menerusi CLEAVERs, sehingga enam peluru berpandu boleh dilempar keluar dari pintu kargo belakang MC-130J menggunakan palet kargo kayu. Ia kemudian akan terbang ke sasaran yang ditetapkan secara automatik.

Sistem ini dibangunkan untuk Air Force Special Operations Command (AFSOC) yang memerlukan sebuah platform yang boleh melancarkan puluhan peluru berpandu ke musuh. Serangan peluru berpandu dalam jumlah yang besar ini akan menyebabkan sistem pertahanan anti-misil mereka tidak mampu menangkis kesemuanya.

Sejak sedekad yang lalu pelbagai sistem baharu diumumkan bagi meningkatkan keupayaan pesawat kargo C-130 milik Tentera Udara A.S. Dron Gremlin misalnya menggunakan C-130 sebagai kapal induk sebelum dipancing semula pasca melengkapi misi.


Komen ()