Google Chrome adalah pelayar web yang dipercayai ramai dan ramai menggemarinya. Ini kerana ia mudah digunakan, mempunyai antaramuka mesra pengguna, boleh selarikan sejarah dan kata laluan yang disimpan secara rentas-peranti dan juga mempunyai fungsi-fungsi sekuriti yang melindungi pengguna dan juga data.
Tetapi Google tetap Google, mereka sentiasa akan menjejak pengguna. Oleh yang demikian wujudnya mod ikognito pada sesebuah pelayar web. Mod ini tidak menyimpan sejarah laman web yang dilayari pengguna, tidak menyimpan sebarang kuki dan kononnya adalah selamat 100%. Tetapi hakikatnya, Google didakwa masih menjejak data pengguna dan terkini mereka telah disaman sekurang-kurangnya $5 bilion (~RM22 bilion) oleh tiga plaintif di mahkamah persekutukan San Jose, California.
Nilai tuntutan ialah $5000 (~RM 22,000) untuk setiap kesalahan pengintipan dan pencerobohan privasi menurut undang-undang di California. Saman RM22 bilion ini meliputi jutaan pengguna sejak 1 Jun 2016.
Google dikatakan menjejak pengguna melalui tabiat membeli-belah, Google Ad Manager, Google Analytics dan banyak lagi. Walaupun data yang diperoleh tidak berkait secara terus kepada pengguna, tetapi melalui data yang diperoleh ia boleh mengenalpasti siapakah pengguna tersebut.
Jadi, adakah anda masih ingin menggunakan Chrome? Atau berhijrah seperti saya ke Microsoft Edge.