Sebelum ini kami ada berkongsi artikel mengenai Realme Malaysia yang dikatakan telah berkongsi video acah memperlihatkan jam pintar pertama mereka, Realme Watch. Perkongsian ini secara tidak langsung memberi gambaran bawah peranti ini bakal ditawarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi.
Terkini, Realme berkongsi berita gembira dengan mengumumkan bahawa Realme Watch bakal tiba di Malaysia pada 11 Jun ini. Acara pelancaran akan diadakan secara atas talian menerusi laman Facebook rasmi Realme pada jam 11 pagi.
Seiring dengan pelancaran ini, Realme turut memperkenalkan sejumlah peranti lain termasuk Realme Band, rangkaian fon telinga terbaru dan banyak lagi.
Untuk spesifikasi, Realme Watch hadir dengan skrin 1.4-inci berwarna, dilengkapi dengan fokus terhadap kecergasan, kalis air, dan integrasi kemudahan menerima notifikasi daripada aplikasi serta telefon pintar. Selain itu, ia juga menyertakan sokongan untuk memantau kadar denyutan nadi. Realme menggunakan aplikasi Realme Link untuk membolehkan pengguna mengawalnya melalui telefon pintar.