Carian
MAC Adalah Panel Aluminium Modular Yang Boleh Dipasang Menjadi Bilik Wad Sementara
June 4, 2020 Fahim Zahar

Pandemik Covid-19 ini menjadikan keadaan huru-hara. Ramai yang panik membeli-belah, pembatasan sosial dilaksanakan, arahan perintah berkurung dilakukan, dan hospital dan pusat kesihatan sesak dengan pesakit. Bercakap mengenai hospital, ianya penuh sehingga terlebih muatan dan ada yang takut untuk datang ke hospital walaupun bukan kerana Covid-19.

Miniwiz dari Taiwan, iaitu sebuah syarikat arkitek dan kejuruteraan yang memfokuskan kitar semula bekerjasama dengan kerajaan Taiwan dan juga Fu Jen Catholic University Hospital untuk hadir dengan panel aluminium modular yang boleh dipasang menjadi bilik wad sementara. Bilik ini boleh dipasang di dalam hospital, atau juga di luar di sekeliling bangunan. Panel ini digelar MAC, iaitu Modular Adaptable Convertible. Mereka menghasilkan ini kerana penggunaan hospital semakin meningkat dan terlebih muatan. Dengan adanya MAC, ia boleh “membina” dalam masa kurang 24 jam pelbagai variasi bilik wad.

MAC ini juga mempunyai panel akustik anti-virus dan anti-bakteria, mempunyai rasuk yang memanca dan boleh disambungkan antara satu sama lain untuk menjadikan suasana bilik wad tadi mempunyai tekanan yang negatif agar penyebaran virus boleh terkawal. Selain dari aluminium, polietilena tereftalat (PET) turut digunakan untuk menjadikan dinding menyerap bunyi. Kit MAC ini turut menyediakan sistem pembersihan kendiri dengan menggunakan lampu ultraviolet. Memudahkan setiap hospital atau pusat kesihatan yang menggunakan MAC ini adalah, setiap panel direka agar ia mudah dicuci dan setiap panel turut disalut dengan lapisan nano anti-bakteria.

Untuk pembinaan pantas dan mudah dihantar ke mana-mana lokasi, setiap kit MAC cukup ringan dan boleh dihantar melalui udara. Buat masa ini MAC masih lagi dikira sebagai prototaip dan ia juga sudah berjaya membuat demonstrasi. Melalui kejayaan ini, lebih banyak hospital dan pusat kesihatan dari pelbagai negara menginginkan kit seperti ini tersedia.

Komen