Cari @ Amanz

Seperti sedia tahu, Youtube merupakan sebuah platform utama penyelia video di seluruh dunia. Ia menjadi rujukan utama pengguna, terutama sekali ketika mereka mencari bahan berbentuk video. Bagaimanapun, platform ini telah membuat peraturan baru untuk sejumlah dasar kandungannya. Tetapi, apa yang menyebabkan perubahan ini berlaku.

Sebelum ini, YouTube dan syarikat induknya Google telah didenda oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) Amerika Syarikat ekoran kesalahan pelanggaran peraturan Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (COPPA). Ringkasannya, COPPA adalah undang-undang melarang syarikat Internet mengumpulkan data daripada kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah dan YouTube dituduh melanggar undang-undang berkenaan.

 

Kenapa Didenda?

Memetik satu kenyataan yang dibuat dalam artikel FTC, ini berikutan terdapat dakwaan yang mengatakan Google dan YouTube mengumpul maklumat peribadi kanak-kanak secara tidak sah. Menurut dakwaan, syarikat berkenaan dikatakan mengumpul maklumat tersebut menerusi video yang cenderung ditonton oleh kanak-kanak tanpa kebenaran daripada ibu bapa. Ekoran itu, Google dan YouTube dikenakan denda bernilai $170 juta (~RM725 juta) untuk menyelesaikan dakwaan ini.

Pembayaran ini termasuklah sebanyak $136 juta (~RM580 juta) dibayar kepada FTC dan $34 juta (~RM145 juta) lagi kepada peguam negara New York. Difahamkan, jumlah denda ini merupakan paling tinggi yang pernah dikenakan oleh FTC di bawah kes COPPA sejak akta ini diperkenalkan pada 1998. Pun begitu, mesra diingatkan perkara ini hanya melibatkan platform utama YouTube sahaja. Aplikasi YouTube Kids tidak terlibat sama sekali.

 

Apakah Tindakan Selanjutnya?

Lantaran itu, Google dan YouTube dalam satu kenyataan berkata, mereka bersepakat membuat beberapa perubahan pada dasar kandungannya. Ini termasuklah mengehadkan pengumpulan data dan penggunaan video yang disasarkan untuk kanak-kanak. Selain itu, mereka juga dikatakan menghentikan tayangan iklan berbentuk peribadi pada video memfokuskan kepada kanak-kanak. Ini bermaksud video di YouTube yang mensasarkan kepada kanak-kanak tidak akan disertakan iklan yang disasarkan. Secara tidak langsung, ia menyebabkan pencipta kandungan menerima bayaran yang sedikit.

Dalam pada itu, sejumlah besar ciri-ciri utama juga akan dinyahaktifkan seperti fungsi komen, notifikasi dan lain-lain. Malah, semua pencipta kandungan diwajibkan untuk memaklumkan mengenai sasaran audien untuk setiap video yang dimuat naik – sama ada ia ditujukan kepada kanak-kanak atau tidak. Pada masa sama, YouTube juga dikatakan menggunakan sistem pembelajaran mesin bagi mengenal pasti video tidak berlabel yang  jelas ditujukan untuk kanak-kanak. Pun begitu, Google akui sistem seperti ini mungkin  tidak sepenuhnya sempurna.

 

Kesan Yang Berlaku Pada Video?

Perubahan tetapan ini akan mempengaruhi setiap kandungan video yang dimuat naik pada masa akan datang. Terdapat sejumlah ciri-ciri tertentu yang akan disekat. Pencipta kandungan boleh menetapkan saluran dengan dua cara : pertama, menetapkan pada video tertentu sahaja. Kedua, tetapkan untuk keseluruhan saluran. Sekiranya pencipta memilih untuk menetapkan pada video tertentu, sejumlah ciri utama akan dinyahaktifkan.

Antaranya, ruangan komen dinyahaktif, tiada pemberitahuan untuk kandungan baru, ruangan sembang langsung juga dinyahaktif, tiada penjenamaan tanda air (watermark), fungsi simpan ke senarai atau tonton kemudian juga dinyakaftikan dan sebagainya. Berbeza dengan tetapan keseluruhan saluran, di mana pencipta kandungan tidak lagi boleh membuat sebarang catatan dan stories pada saluran YouTube. Selain itu, tiada lagi pemberitahuan umum untuk kandungan baru.

Apakah Reaksi Diterima? Penalti Untuk Pihak Yang Ingkar? 

Mungkin ia nampak remeh, tapi sebenarnya ia memberi kesan yang besar kepada segelintir individu. Terutamanya pencipta kandungan kanak-kanak yang menjana pendapatan di YouTube sepenuhnya. Rata-rata meluahkan kebimbangan mereka mengenai kesan dan akibat yang bakal berlaku berikutan perubahan ini. Tidak kurang juga ada pihak yang mempersoalkan, bagaimana pula dengan kandungan yang memaparkan permainan video dan animasi untuk golongan dewasa?

Difahamkan, YouTube dan FTC telah mengeluarkan garis panduan. Namun, ia terlalu spekulatif serta samar-samar dan ramai mempersoalkan mengenainya. Sekiranya terdapat pencipta yang gagal mematuhi peraturan ini, penalti sebanyak $ 42,530 (~RM 177,503) akan dikenakan untuk setiap video. Selain itu, saluran juga akan ditamatkan secara serta-merta. Bagaimanapun menurut FTC, pihaknya akan mempertimbangkannya terlebih dahulu termasuklah, dari segi keadaan kewangan syarikat dan kesan terhadapnya untuk meneruskan perniagaan kelak.

Teruskan Dengan Aplikasi YouTube Kids…

Beralih ke aplikasi YouTube Kids. Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi blog Google, aplikasi ini disokong dengan iklan yang terhad. Semua iklan berbayar YouTube Kids mesti mendapat pra-persetujuan oleh pasukan dasar YouTube sebelum disiarkan di aplikasi YouTube Kids. Bagaimanapun, kandungan yang dimuat naik oleh pengguna ke saluran sendiri tidak dianggap sebagai iklan berbayar. Aplikasi ini juga dikategorikan sebagai carian yang selamat untuk kanak-kanak. Dengan itu, carian yang tidak sesuai akan ditapis. Ia mudah digunakan dan didatangkan dengan pelbagai fungsi kawalan tersesuai untuk ibu bapa.

Pada pandangan anda, adakah perubahan ini benar-benar menjamin keselamatan? Sekiranya anda adalah salah seorang pencipta kandungan, adakah perubahan ini mempengaruhi kandungan anda? Cuba kongsikan pendapat anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd