Ciri Featured Snippet pada carian Google mempercepatkan proses mencari jawapan yang pantas. Menerusinya kotak kecil dengan maklumat ringkas (snippet) akan dipaparkan di bahagian atas laman Google Search. Sekiranya pengguna ingin membaca dengan lebih mendalam, mereka kemudian boleh menekan pautan untuk melihat dari mana maklumat ringkas ini diambil. Kerap kali apabila ini dilakukan pengguna perlu mencari lagi maklumat yang relevan terutamanya di dalam artikel yang panjang,
Google telah mengemaskini ciri Featured Snippet mereka bagi menyelesaikan masalah yang agak menjengkelkan ini. Apabila pautan maklumat ringkas ditekan, pengguna akan dibawa terus ke bahagian dari mana ia diambil dengan latar belakang berwarna kuning bagi memudahkan pencarian. Pengguna tidak perlu lagi mengguna ciri Find Words/Find yang terbina dalam pelayar web mereka.
Ciri ini dilakukan secara automatik oleh pihak Google tanpa perlu dilakukan oleh pemilik laman. Featured Snippet ialah fungsi yang menjimatkan masa tetapi pada waktu yang sama boleh mendatangkan kerugian kepada pemilik laman. Contoh terbaik trafik ke Wikipedia menjunam 21% selepas Featured Snippet diperkenalkan. Pengguna tidak lagi perlu ke Wikipedia untuk mendapatkan maklumat kerana ia telah dipaparkan terus sebagai jawapan di Google Search.