Mobvoi adalah syarikat yang disokong oleh Google, yang mana hadir dengan jam tangan pintar Wear OS mampu milik – TicWatch. Mereka hadir dengan banyak variasi jam tangan pintar, dari mampu milik sehinggalah yang premium melalui TicWatch Pro. Selain itu, mereka turut mempunyai beberapa produk audio seperti set fon telinga nirwayar, beberapa variasi TWS dan juga pembesar suara pintar.
Terkini, mereka hadir dengan TWS variasi baharu iaitu Ticpods ANC. Ia adalah sepasang set fon telinga nirwayar sebenar yang mempunyai sistem pembatalan hingar aktif. Dari segi rekaan, fon telinga dilihat mempunyai rekaan yang unik dan tersendiri dengan pod pengecasan yang dilihat sedikit mirip dengan Apple AirPods. Seperti kebanyakan aksesori audio dengan pembatalan hingar aktif, Ticpods ANC turut mempunyai beberapa mod pendengaran seperti Quite Mode, Sound-Passthrough Mode dan ANC off Mode. Ia juga hadir dengan mikrofon berkualiti tinggi dan turut boleh digunakan salah satu fon telinga sahaja.
Untuk pemacu audio, mereka menggunakan jenis 13mm HiFi yang menawarkan bass, vokal dan treble yang merdu. Seperti TWS Ticpods yang lain, ia turut mempunyai kawalan sesentuh pada tangkai fon telinga untuk mengawal media, panggilan telefon dan menyeru pembantu digital. Untuk bateri, Ticpods ANC dikatakan mampu bertahan sehingga 21 jam dengan pod pengecasan, 5 jam tanpa pembatalan hingar, 4.5 jam dengan pembatalan hingar dan boleh dicas sebanyak 2.5 kali melalui pod pengecasan. Untuk perlindungan ia mempunyai IPX5, dan untuk rangkaian ia menggunakan Bluetooth 5.0.
Harga jualan adalah $80.99, iaitu sekitar RM345. Warna yang ditawarkan buat masa ini adalah berwarna putih – Ice. Bagi yang berminat, Mobvoi turut tawarkan penghantaran ke serata dunia melalui pembelian di laman web.