Cari @ Amanz

Sony WH-1000XM3 adalah set fon kepala yang terbaik yang pernah kami cuba. Oleh kerana itu, ramai di kalangan kami di Amanz memiliki set fon kepala ini. Ia mempunyai sistem pembatalan hingar aktif terbaik dan mempunyai kualiti audio yang mengasyikkan. Dari segi harga, walaupun kedai Sony masih menyenaraikan pada harga lebih RM1000 – beberapa penjual sudah menjual pada harga diskaun serendah bawah RM900.

Sejak tahun lepas lagi, kita sudah tahu yang tahun ini Sony akan hadir dengan pengganti XM3 iaitu WH-1000XM4. Berdasarkan imej yang tertiris yang kami laporkan bulan Mac lepas, ia dilihat dikilangkan di Malaysia dan masih menggunakan rekaan yang sama. Terkini, laman web Walmart telah menyenaraikan set fon kepala ini berserta dengan fungsi dan ciri menarik yang hadir pada XM4. Bukan itu sahaja, harga jualan disenaraikan pada $348 – iaitu sekitar RM1484. Berikut adalah senarai fungsi dan ciri yang menarik yang disenaraikan;

  • Sistem pembatalan hingar aktif terbaik.
  • Kawalan suara ambien.
  • Terknologi audio tersendiri.
  • Mengembalikan kualiti audio yang dimampat secarta masa nyata menggunakan kecerdasan buatan.
  • Bateri 30 jam, pengecasan pantas, 10 minit cas bertahan selama 5 jam.
  • Kawalan sesentuh.
  • Panggilan telefon yang lebih jelas dan boleh menjawab panggilan telefon dengan beberapa tap sahaja.
  • Boleh ditambat pada dua peranti serentak.
  • Kawalan suara boleh-suai mengikut lokasi.
  • Span fon kepala yang lebih selesa dan lembut lagi ringan.

Menurut XDA pula, dalam aplikasi Sony | Headphones Connect yang telah mereka nyahkod – terdapat fungsi baharu yang digelar Smart Talking/Speak-t0-chat. Ia adalah satu fungsi yang apabila pengguna mula bercakap/berbual mod ambien akan aktif dengan sendiri bagi memudahkan si pengguna dengar setiap perbualan.

Buat masa ini Sony masih belum umumkan lagi tarikh dan harga untuk WH-1000XM4. Tetapi pendapat kami ia mungkin akan hadir dalam masa terdekat ini. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd