Carian
Xiaomi Mengumpul Dana Untuk Kipas Nirbilah Pintar Dari Weiyuan
June 5, 2020 Fahim Zahar

Dyson adalah syarikat yang amat berinovasi dalam teknologi vakum pembersih, kipas nirbilah dan juga pengering rambut. Seperti biasa dalam arena teknologi ini, jika satu jenama memulakan sesuatu yang baru pasti akan ada jenama lain menjadikannya sebagai inspirasi.

Terkini, Xiaomi dilihat sedang mengumpul dana untuk Weiyuan Smart Handheld Bladeless. Ia adalah satu kipas mudah alih nirbilah yang pintar dan Xiaomi mengumpul dana melalui laman biayasama mereka – Youpin. Seperti konsep yang Dyson gunakan, iaitu kesan Coanda, udara diperoleh dari pemampat yang terbina di bahagian bawah kipas terus ke gegelung pada bahagian atas. Udara yang keluar akan bertindak sebagai angin sepertimana sayap sesebuah pesawat. Kipas nirbilah ini menggunakan rekaan tersendiri untuk mengurangkan bunyi bising dan bunyi pemampat itu hanyalah 55dB.

Di bahagian bawah kipas ini, mereka menggunakan rekaan 7-sayap aliran pendesak yang pepenjuru yang boleh menghasilkan angin yang mempunyai tekanan yang tinggi. Secara tidak langsung, kipas ini boleh menghasilkan angin yang bergerak pada kadar 7.52m/s. Untuk kuasa, ia menggunakan bateri berkapasiti 2000mAh dan pengguna boleh mengawal tiga tahap kelajuan. Sekali pengecasan turut boleh bertahan selama 1o jam, pengecasan adalah melalui USB-C dan masa mengecas sehingga penuh adalah 3 jam.

Harga jualan akan datang adalah RMB 69 (~RM42) atau RMB39 (~RM23) untuk tempoh mengumpul dana.

Komen