Maxis telah pun hadir dengan penawaran pelan Hotlink baru, dinamakan sebagai Hotlink Prepaid Unlimited. Melaluinya, Maxis menawarkan akses internet “tanpa had”, selain panggilan tanpa had kepada pengguna, bermula RM35 sebulan.
Dua variasi pas tanpa had ditawarkan, iaitu RM35 yang menjanjikan kelajuan maksima 3Mbps, selain pas RM45 sebulan dengan akses kelajuan sehingga 6Mbps.
Apa pun, penawaran “tanpa had” ini hadir dengan FUP (Fair Usage Policy – dimana selepas mencapai suatu had penggunaan, kelajuan internet berkenaan akan dikurangkan lagi. Polisi ini sering digunakan oleh syarikat telekomunikasi, memetik mengatakan untuk mengelak penyalahgunaan, atau memberikan pengalaman yang selari kepada semua pengguna.
Terbaru, pihak Maxis dilihat telah mengemaskini halaman FAQ untuk pelan ini, dan memperlihatkan had yang dikenakan mereka.
Ia dinyatakan oleh Maxis, pas bulanan hadir dengan had 50GB untuk FUP, pas mingguan dengan 15GB, dan pas harian dengan 5GB.
Selepas mencapai had berkenaan, kelajuan pelayaran akan dikurangkan menjadi 512kbps, sehingga ia diperbaharui. Info ini tidak dinyatakan ketika pengumuman pelan ini, dan dilihat telah ditambah disebabkan pertanyaan ramai pengguna di arena internet.
Apa kata anda berkenaan dengan had FUP ini, dan kelajuan yang dihadkan kepada 512kbps selepas mencapainya?