Pelbagai syarikat teknologi sering mendaftarkan paten untuk teknologi yang dibangunkan mereka – sama ada bakal dikomersilkan ataupun sebaliknya. Terbaru, Apple dilihat telah menerima paten yang membolehkan pengguna merakamkan gambar swafoto berkumpulan walaupun tidak berada disuatu lokasi yang sama.
Kaedah ini mungkin amat berguna pada era penjarakan sosial masa kini.
Melalui apa yang didaftarkan, ia dilihat Apple ingin menggunakan sokongan perisian yang membolehkan gambar pengguna digabungkan dalam penghasilan rakaman swafoto – untuk dikongsikan ke laman sosial.
Seperti FaceTime, pengguna turut boleh menambah rakan-rakan lain untuk merakamkan gambar swafoto bersama. Walaupun ia dilihat selari dengan era masa kini yang memerlukan penjarakan sosial, namun mungkin idea awalnya adalah dalam memudahkan pengguna merakamkan gambar bersama mereka yang tersayang yang berada jauh, terutamanya ketika perayaan dan sebagainya.
Buat masa ini, ia sekadar penerimaan pengesahan pendaftaran paten sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah ia akan hadir pada iPhone anda.