Adalah normal untuk memuat turun permua percuma dari gedung aplikasi peranti yang disokong oleh paparan iklan. Setiap pengguna perlu menonton video iklan pendek sebelum dibenarkan untuk meneruskan sesi permainan. Menarik sekali sistem paparan iklan ini juga digunakan pada antaramuka peranti Huawei dan Xiaomi sebelum ini. Terkini antaramuka yang dikatakan untuk Samsung One UI 2.5 telah tertiris dan menunjukkan iklan pada skrin kunci.
Tangkapan layar di atas telah dikongsi di forum rasmi Samsung Korea. Ia menunjukkan iklan yang dipaparkan pada skrin kunci dengan peranti yang hanya dinyahkunci selepas 15 saat – bersamaan dengan tempoh untuk melihat iklan. Ini mungkin petanda iklan akan dipaparkan pada peranti Samsung di masa hadapan. Kemungkinan ia untuk peranti mampu milik yang ditawarkan dengan paparan iklan untuk mengurangkan kos jualan.
Seperti yang kami katakan pada perenggan pertama, sistem seperti ini telahpun digunakan pada peranti Xiaomi untuk mengurangkan kos, JioPhone di India dan Be Free Phone yang diberikan percuma tetapi 20% skrin akan memaparkan iklan sepanjang masa.