Cari @ Amanz

Jumaat lalu Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Sandbox Inovasi Nasional (National Technology and Innovation Sandbox) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). NTIS ingin memberikan kemudahan kepada penyelidik, penggerak inovasi, syarikat permulaan dan usahawan teknologi tinggi untuk menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaiannya. Kelonggaran undang-undang dan peraturan sedia ada untuk tujuan teknologi akan diberikan contohnya seperti ujian penghantaran menggunakan dron yang sebelum ini perlu menjalani pelbagai proses pita merah.

Hari ini maklumat lebih terperinci mengenai lima inisiatif utama NTIS dan empat skim pembiayaan yang akan ditawarkan. Lima inisiatif utama yang dikenalpasti pada waktu ini ialah penggunaan robot di hospital bagi menjalankan proses nyahkuman serta sebagai alat untuk penghantaran. Turut termasuk di dalam inisiatif pertama ini ialah penggunaannya dalam industri pertanian bagi menjalan proses penyemburan racun serta penggunaan baja.

Proton Swapandu eMoovitInisiatif kedua pula ialah bidang kecerdasan buatan serta peranti berhubung (IOT) menerusi teknologi yang dibangunkan MIMOS. Seterusnya ialah inisiatif menggunakan robot bagi menggantikan pekerja di kilang sekaligus mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing. Robot yang turut boleh digunakan untuk menjalankan kerja-kerja berbahaya. Untuk inisiatif ketiga ini, dua projek rintis telahpun dimulakan di Taman Perabot Muar dan Taman Industri Bersepadu Rawang.

Inisiatif keempat ialah penggunaan teknologi pembuatan terkini seperti cetakan 3D untuk membangunkan mesin pernafasan untuk kegunaan pesakit Covid-19. Akhir sekali ialah inisiatif menggunakan teknologi biak baka untuk menghasilkan baka baharu tanaman untuk industri pertanian. Dengan baka baharu yang lebih tahan lasak, pengeluaran tanaman di luar negara dapat dipertingkatkan sekaligus menyumbang kepada keselamatan bekalan makanan negara.

Empat cadangan pembiayaan yang ditawarkan bermula dengan Single Side Sandbox dengan dana maksum RM250,000 dalam bentuk geran. Multiple Site Sandbox pula menawarkan `dana sehingga RM500,000 dalam bentuk separa geran. Ini diikuti pula dengan pengkomersialan dengan pembiayaan sehingga RM4 juta dalam bentuk dan hibrid, geran dan nota janji boleh ubah. Akhir sekali ialah dana padanan bersama pelabur dan syarikat korporat. Peruntukan sehingga RM15 juta ditawarkan dengan instrumen pembayaran tertakluk kepada persetujuan di antara MTDC dan syarikat yang terlibat.

Kesemua ini termasuk di dalam peruntukan RM100 juta yang diumumkan Jumaat lalu dan diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan sokongan Malaysia Global Innovation & Creativity Center (MaGIC), Technology Park Malaysia, Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) serta Futurise Sdn Bhd (di bawah kementerian kewangan).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd