Live Caption adalah fungsi yang hadir pada Android 10 dan eksklusif untuk pengguna Pixel 4 sahaja. Hanya selepas itu, ia diedarkan kepada pengguna Pixel lain dan secara perlahan hadir pada pengguna OnePlus 7 dan Galaxy S20. Fungsi ini boleh menjana sarikata daripada apa-apa media yang dimainkan dari peranti. Ia sebenarnya adalah fungsi untuk membantu pengguna kurang upaya pendengaran agar boleh baca sahaja atau lihat apa yang kandungan itu sedang bercakap atau menyanyi.
Bulan Februari lepas, terdapat barisan kod yang muncul dalam kod pembangunan Google Chrome. Live Caption adalah satu perkara yang sukar dibangunkan kerana ia berlaku secara masa nyata dan segala data adalah dari dalam peranti dan bukan di storan. Akhirnya, pelayar web Google Chrome dan Chrome OS versi pembangunan (Canary) sudah boleh menguji fungsi ini. Kami menguji melalui laman YouTube dan ia memperlihatkan keputusan yang baik sekali. Video yang dimainkan mampu mentranskrib video ke teks dengan baik dan boleh dikatakan jitu. Walau bagaimanapun kemampuan transkrib audio ke teks seperti dari laman web Spotify, ia tidak begitu baik.
Seperti pada telefon pintar, ia hanya menyokong mentranskrib kandungan audio/video bahasa Inggeris ke teks bahasa Inggeris sahaja buat masa ini. Tiada sebarang pepijat yang kami perasan, ia berfungsi dengan baik setakat ini. Cuma, ia masih berada dalam mod Canary dan prestasi pelayar web versi pembangunan ini adalah sangat tidak stabil dan menjengkelkan. Marilah sama-sama kita nantikan versi stabil tiba kelak bersama-sama dengan Live Caption ini.