Cari @ Amanz

Seperti bahasa yang digunakan oleh manusia di dunia, bahasa pengaturcaraan komputer juga adalah pelbagai. Adalah perlu bagi seorang pengaturcara untuk mengetahui lebih daripada satu bahasa. Ini menimbulkan masalah kerana struktur yang berbeza di antara bahasa pengaturcaraan yang digunakan. Masalah berlaku apabila pengaturcara tua telah bersara dan pengatucara muda tidak mempunyai kepakaran dalam bahasa pengaturcaraan lama seperti COBOL misalnya.

Penyelidik di Facebook AI Research telah membangunkan kecerdasan buatan yang boleh mengalih bahasa pengaturcaraan secara automatik. Kecerdasan buatan yang diberi nama Trancoder dibangunkan untuk mengalih bahasa pengaturcaraan C++, Java, dan Python.

Keputusan awal masih lagi belum cukup memberangsangkan. Apabila mengubah Java ke C++, Transcoder mempunyai ketepatan setinggi 91.6%, Tetapi menjunam ke 56.1% apabila mengubah Python ke Java. Pembangunan Transcoder masih di peringkat awal. Ia dilihat sebagai sesuatu yang perlu memandangkan kos untuk mengubah program yang ditulis menggunakan satu bahasa pengaturcaraan ke satu lagi bahasa pengaturcaraan bukan sahaja sukar tetapi menelan belanja yang tinggi.

Di Amerika Syarikat sebulan yang lalu, pengaturcara yang telah bersara terpaksa kembali bertugas kerana perisian untuk sistem membantu insan yang kehilangan kerja ditulis menggunakan Cobol. Perisian mengalami masalah memproses permohonan yang tinggi akibat pandemik Covid-19. Cobol ialah bahasa pengaturcaraan yang digunakan sejak 1959 dan kini dianggap lapuk namun perisian legasi masih digunakan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd